Radar pertahanan udara jarak jauh di Bintulu untuk pengawalan sempadan

Bernama
Disember 9, 2023 05:20 MYT
Mohamad menyeru pegawai ATM meningkatkan ilmu pengetahuan dan mempersiapkan diri bagi mendepani pelbagai cabaran serta perubahan di dunia ketika ini. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Radar Pertahanan Udara Jarak Jauh (GM400) akan ditempatkan di Bintulu, Sarawak sebagai radar utama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam memastikan sempadan negara terus terkawal, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan.
"Perolehan radar berkapasiti tinggi itu akan memberi nilai tambah kepada urusan ATM mengawal sempadan daripada diceroboh dan mengenal pasti masalah dihadapi di Laut China Selatan," katanya dalam sidang media selepas majlis graduasi Maktab Ketahanan Nasional (MKN), Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT) dan Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT) 2023 di sini pada Sabtu.
Pada Jumaat, Mohamad menyaksikan Majlis Menandatangani Surat Setuju Terima (LOA) antara Kementerian Pertahanan dengan Syarikat Thales Group bagi GM400 kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Mengenai pertemuannya dengan rakan sejawat dari Perancis Sebastian Lecornu semalam, beliau berkata Malaysia akan menjadi tuan rumah untuk mengadakan rundingan dua hala dengan Perancis tahun depan.
"Ini akan memantapkan lagi hubungan dua hala dan diplomasi pertahanan. Banyak boleh dipelajari terutama dari segi teknologi kecanggihan aset terbaharu, kita dapat belajar dan menghantar pegawai kita ke sana," katanya.
Berhubung isu pencen veteran ATM, Mohamad berkata penyelarasan pencen veteran diadakan bersekali dengan kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam.
"Kementerian ada beri input untuk kerajaan rangkum (dalam SSPA) dan JPA dapat memberikan satu pakej skim saraan penjawat awam dan pencen saraan penjawat awam," katanya.
Sementara itu, Mohamad menyeru pegawai ATM meningkatkan ilmu pengetahuan dan mempersiapkan diri bagi mendepani pelbagai cabaran serta perubahan di dunia ketika ini.
"Diplomasi pertahanan juga amat penting pada masa ini dan masa hadapan, justeru kita perlu sentiasa memupuk persahabatan dan hubungan dengan rakan seperjuangan seperti dalam dan luar negara atas kepentingan strategik untuk negara kita," katanya.
Majlis graduasi hari ini melibatkan sebanyak 273 pegawai ATM daripada ketiga-tiga cabang perkhidmatan, angkatan tentera luar negara serta pegawai tadbir dan diplomatik.
-- BERNAMA
#Angkatan Tentera Malaysia #rakan seperjuangan #Sempadan Negara #radar utama
;