Radar baharu bantu atasi banjir kilat

Bernama
November 21, 2012 09:44 MYT
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) berkata penggunaan sistem radar yang membolehkan kadar bacaan hujan dilakukan lebih cepat boleh membantu mengatasi masalah banjir kilat di sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang.
Pengarah Bahagian Sumber Air dan Hidrologi JPS Datuk Hanapi Mohamad Noor berkata ia melibatkan sistem 'Polarimetric Doppler Weather Radar' dari Jepun yang dianggarkan bernilai RM3 juta.
Beliau bagaimanapun berkata pemasangan radar itu perlu terlebih dahulu dibincangkan dengan pihak Jabatan Meteorologi Malaysia.
"Radar sedia ada mengambil 10 minit untuk merekodkan taburan hujan dan jumlah hujan yang turun, namun radar baharu ini mampu merekodkan data yang dikehendaki dalam masa seminit," katanya selepas menghadiri seminar mengatasi banjir melalui kerjasama antara Malaysia dan Jepun di sini semalam.
Hanapi menjelaskan penggunaan radar itu membolehkan maklumat dan data yang direkodkan dibaca sebelum hujan turun, sekaligus membantu penyediaan ramalan hujan lebih awal.
"JPS banyak bergantung kepada radar di Subang yang dikendalikan Jabatan Meteorologi, namun perolehan data setiap 10 minit sekali merugikan kami daripada segi masa apatah lagi banjir yang berlaku di Lembah Klang boleh berlaku dalam kadar yang pantas," kata Hanapi.
Menurut beliau cerapan maklumat lebih pantas dan kerap amat penting bagi membolehkan pihaknya merangka pelan efektif bagi mengatasi masalah banjir kilat.
Seminar sehari anjuran Universiti Tenaga Nasional dengan kerjasama Kedutaan Jepun di sini itu dirasmikan Timbalan Ketua Pengarah 1 JPS Datuk Nordin Hamdan.
#banjir #Lembah Klang
;