Racun punca kematian 50-60 ekor gajah dalam tempoh 10 tahun - JHL Sabah
Bernama
Jun 22, 2020 07:00 MYT
Jun 22, 2020 07:00 MYT
Lima puluh hingga 60 ekor gajah yang dilaporkan mati dalam tempoh 10 tahun lalu di Sabah berpunca daripada racun, kata Timbalan Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah Dr Sen Nathan.
"Setiap ekor gajah di negeri ini terdedah dengan risiko racun sama ada berpunca daripada tumbuh-tumbuhan, alam sekitar mahupun kawasan perladangan," katanya.
Justeru kata Sen Nathan, JHL Sabah sedang bekerjasama dengan Pusat Racun Negara dalam aspek penyelidikan dan penyiasatan keracunan gajah di Sabah yang selama ini menyebabkan kematian haiwan dilindungi itu.
Katanya kerjasama dengan Pusat Racun Negara itu dimulakan pada Mac lalu namun tergendala berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Tetapi kami akan meneruskan projek ini selepas ini untuk mengetahui isu keracunan gajah ini," katanya di sini.
Dr Sen Nathan berkata, gajah yang berjaya ditangkap dan dilepaskan ke hutan simpan turut mempunyai risiko keracunan namun agak rendah.
Katanya isu keracunan gajah di kawasan ladang pula, tidak juga membimbangkan kerana kebanyakan ladang ketika ini telah mengamalkan sistem perladangan yang dapat melindungi haiwan itu.
"Jadi sekarang masalahnya yang kami mahu tahu 'teracun' atau diracun serta punca racun itu sama ada sengaja atau tidak," katanya.
Mengulas lanjut beliau berkata, pihaknya akan melakukan kajian lapangan bermula pada Ogos tahun ini untuk mendapatkan data lengkap berkaitan populasi gajah di negeri ini melalui dana Lembaga Minyak Sawit Malaysia.
Mengikut data 12 tahun lepas populasi gajah di Sabah berjumlah 2,000 ekor dan kumpulan terbesar berada di Hutan Simpan Gunung Rara iaitu sehingga 600 ekor, Hutan Simpan Tabin dianggar 500 ekor dan di Kinabatangan 300 ekor.
"Sudah tiba masa untuk membuat data baharu sebab konflik gajah dengan manusia semakin bertambah terutamanya melibatkan kawasan habitat, kami juga akan pergi ke tempat semua pemilik ladang untuk membuat soal selidik bagi mendapatkan data secara holistik," katanya lagi.
-- BERNAMA
#COVID-19
#Dr Sen Nathan
#gajah
#Jabatan Hidupan Liar
#perintah kawalan pergerakan
#PKP
#racun
#Sabah