Rabies ragut nyawa mangsa ke-18 di Sarawak
Rudi Affendi Khalik
Jun 13, 2019 19:02 MYT
Jun 13, 2019 19:02 MYT
Seorang wanita warga emas berusia 61 tahun menjadi mangsa terkini wabak rabies di Sarawak, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.
Menurutnya, wanita tersebut berasal dari Pending di sini, disahkan dijangkiti rabies berdasarkan ujian makmal Institut Penyelidikan Perubatan, yang dijalankan semalam.
Mangsa meninggal dunia pada sekitar jam 10.47 malam Rabu setelah mengalami simptom rabies sejak 8 Jun lepas.
Menurut Dr Noor Hisham, mangsa mempunyai sejarah digigit seekor anjing liar di ibu jari tangan kanannya pada 29 April lalu.
“Ia berlaku semasa dia cuba menghalau anjing tersebut yang sentiasa menyalak kepadanya.
"Sejurus digigit, mangsa telah mencuci luka tersebut selama lima minit sebelum mendapatkan rawatan di sebuah klinik komuniti berhampiran rumahnya, dan diberi temu janji seminggu kemudian.
“Dia bagaimanapun tidak mendapatkan rawatan susulan seperti yang dijadualkan kerana berpendapat luka pada jarinya telah sembuh," katanya.
Pada 6 Jun lalu, mangsa dikatakan mula mengalami sakit dan rasa tidak selesa di bahagian lengan tangan kanannya dan mendapatkan rawatan di Hospital Umum Sarawak.
Dua hari kemudian, mangsa dimasukkan ke Wad Penyakit Berjangkit dan diberikan rawatan Rabies Immunoglobulin (RIG).
“Keesokan harinya, mangsa mengalami gejala simptom rabies, sehingga hari terakhirnya semalam.
Katanya, ini merupakan kes ke-19 rabies dalam kalangan manusia, dengan 18 kematian direkodkan sejak wabak diisytihar pada 1 Julai 2017 dangan tiga daripada kes itu dilaporkan pada tahun 2019.
Menurut Dr Noor Hisham, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak telah mengeluarkan peringatan kepada semua pengamal perubatan di negeri itu agar memastikan pengurusan kes gigitan haiwan termasuk anjing dijalankan mengikut Panduan Pengurusan Kes Gigitan Haiwan di Sarawak.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas melahirkan rasa terkilan, kerana masih ada dalam kalangan rakyat negara ini yang mengambil ringan isu rabies.
“Pihak kita telah beroperasi sejak dua tahun lalu, namun dua kes terakhir menyaksikan mangsa tidak melihat kes cakar dan gigitan ini secara serius, termasuk tidak membasuh luka selama 15 minit dan segera ke klinik berdekatan,” katanya.
#Dr Noor Hisham Abdullah
#gigit anjing
#Hospital Umum Sarawak
#Ketua Pengarah Kesihatan
#rabies
#Rabies Immunoglobulin
#wanita warga emas