Rabies: JPV Perak hapus 19 anjing liar

Nazialita Geynna Maharan
Julai 18, 2017 08:34 MYT
Operasi kempen kesedaran tentang penyakit rabies dan kawalannya telah dijalankan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar dari rumah ke rumah kepada 275 orang pemilik haiwan. - Gambar hiasan
Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Perak pada Isnin telah menghapuskan 19 ekor anjing liar dalam satu operasi bagi mengawal sebarang risiko penyakit anjing gila, atau rabies, di sekitar Larut, Matang dan Selama.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam berkata, pihaknya juga telah melaksanakan bancian dan survelan aktif dalam lingkungan 1km radius dari lokasi kes jangkitan melibatkan 305 ekor haiwan.
"Operasi pemvaksinan telah dilakukan dalam 1km dari lokasi kes jangkitan rabies. Jumlah yang telah divaksin sebanyak seekor anjing.
"Operasi kempen kesedaran tentang penyakit rabies dan kawalannya telah dijalankan dari rumah ke rumah kepada kepada 275 orang pemilik haiwan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dr Quaza turut menyatakan, sebanyak lima sampel kepala anjing telah diambil dan dihantar ke Institut Penyelidikan Veterinar (VRI) Ipoh untuk pengesanan penyakit rabies.
Katanya, buat masa ini, operasi awal yang dilaksanakan oleh JPV Perak mengesahkan tiada sebarang petanda klinikal yang dikesan pada semua haiwan berkenaan.
Sebelum ini, JPV Perak telah menerima aduan pada 13 Julai 2017 daripada seorang pemilik bernama Ooi Ai Heng yang beralamat di No 157, Tepi Sungai, Kuala Sepetang, Taiping, Perak berkaitan dengan seekor anjing miliknya yang telah mati selepas 9 hari menggigit anak perempuan dan anak saudara perempuannya.
Pihak VRI telah mengesahkan kes sebagai positif rabies berdasarkan kepada ujian FAT dan RT PCR pada 15 Julai 2017.
Sehubungan itu, katanya, Kerajaan Negeri Perak telah mewartakan kawasan Mukim Matang, Daerah Larut, Matang dan Selama sebagai kawasan jangkitan penyakit Rabies.
#anjing liar #Jabatan Perkhidmatan Veterinar #JPV #pemvaksinan #penghapusan #Perak #Quaza Nizamuddin Hassan Nizam #rabies