Rabies: Jangan pandang ringan jika digigit kucing

Bernama
Julai 18, 2017 22:41 MYT
Selasa lalu, seorang suri rumah digigit kucing peliharaannya di Kampung Menteri, Kuala Sepetang di sini, namun pemeriksaan mendapati tiada tanda klinikal pada kucing tersebut. - Gambar hiasan
Orang ramai dinasihati supaya tidak memandang ringan sekiranya mereka digigit atau dicakar kucing kerana ia mempunyai risiko jangkitan penyakit anjing gila atau rabies.
Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) negeri Dr Fuziah Muhayat berkata risiko jangkitan penyakit itu bukan hanya melibatkan anjing.
"Bukan hanya kalau digigit anjing, orang ramai juga harus segera ke pusat kesihatan terdekat untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan jika digigit atau dicakar kucing kerana berkemungkinan risiko jangkitan rabies berlaku," katanya kepada Bernama menerusi aplikasi WhatsApp.
Selasa lalu, seorang suri rumah digigit kucing peliharaannya di Kampung Menteri, Kuala Sepetang di sini, namun pemeriksaan mendapati tiada tanda klinikal pada kucing tersebut dan tindakan kuarantin serta pemerhatian klinikal dilakukan ke atas haiwan itu sehingga tempoh 14 hari.
Sementara itu, pemilik kucing tersebut Norhayati Abdul Hamid, 41, tidak menyangka sama sekali haiwan peliharaannya itu akan menggigitnya.
Norhayati berkata kejadian berlaku kira-kira 11 pagi ketika dia sedang menyiang ikan belanak di rumahnya sebelum tiba-tiba kucing peliharaannya menggigit jari kanannya.
"Saya ingat gigitan ini tidak memudaratkan sehingga kakitangan DVS mengarahkan saya mendapat rawatan kerana sekarang ini wabak penyakit anjing gila di sini," katanya ketika ditemui Bernama di sini.
Norhayati yang merupakan suri rumah berkata beliau telah mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan di sini Ahad lalu dan kejadian digigit kucing itu adalah yang pertama kali berlaku ke atasnya.
"Jabatan itu juga menasihatkan saya supaya tidak membiarkan ahli keluarga berkeliaran di luar rumah kerana bimbang dengan anjing liar," katanya.
Sementara itu, Ketua Kampung Menteri Mohamad Nor Mohamad Razali, 53, berkata tindakan segera hendaklah diambil untuk mengelak anjing liar berkeliaran sehingga membahayakan keselamatan orang ramai.
Saya harap penduduk di sini berhati-hati serta mengelak daripada menjadi mangsa gigitan anjing liar," katanya sambil menambah satu program penerangan mengenai rabies akan diadakan di Masjid Kuala Sepetang malam ini.
Tinjauan Bernama mendapati kakitangan DVS Perak giat menjalankan kerja bancian haiwan peliharaan dan memvaksin anjing di sekitar pekan Kuala Sepetang seawal 8 pagi tadi.
Ia berikutan seekor anjing mati pada 12 Julai lalu, sembilan hari selepas menggigit dua kanak-kanak perempuan masing-masing berumur 11 dan 12 tahun di Kuala Sepetang.
-- BERNAMA
#anjing gila #Dr Fuziah Muhayat #Jabatan Perkhidmatan Veterinar #Kuala Sepetang #kucing #rabies #Taiping #vaksin
;