Raba anak gadis jiran sebelum cabul ibunya pula, lelaki 54 tahun didakwa
Astro Awani
Oktober 2, 2019 18:35 MYT
Oktober 2, 2019 18:35 MYT
Seorang penganggur dihadapkan di dua mahkamah berasingan di Kuala Terengganu atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan mencabul dua beranak yang juga jirannya.
Di mahkamah sesyen, tertuduh Mohd Asri Ramli @ Ngah, 54 tahun didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang remaja perempuan berusia 15 tahun dengan meraba mangsa.
Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan parkir motosikal Blok Gelama, flat Kondo Rakyat, Kuala Ibai, di sini kira-kira jam 6.50 pagi, 24 September lalu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud di hadapan hakim Nooriah Osman.
Mahkamah menetapkan 4 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan tiada sebarang jaminan di tawarkan.
Sementara itu di Mahkamah Majistret pula, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah terhadap ibu mangsa, berusia 44 tahun dengan niat untuk mencabul kehormatannya.
Tertuduh didakwa melakukan jenayah itu di kawasan letak kereta Blok Gelama, flat Kondo Rakyat, Kuala Ibai di Kuala Terengganu kira-kira jam 7 pagi pada 24 September lalu.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau mana-mana antara dua seksaan itu.
Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa, Asisten Superintendan Mohd Ridhuan Mohina Din.
Majistret Abdul Hayyi Salim menetapkan 15 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes, dan tiada sebarang jaminan dibenarkan.
#Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak
#amang seksual fizikal
#Blok Gelama flat Kondo Rakyat
#cabul dua beranak
#Mohd Asri Ramli