R2G 2024 Central: Pacu Malaysia ke masa hadapan teknologi 4IR

Faida Rahim
November 7, 2024 22:59 MYT
Dari kiri, Fares, Timbalan Ketua Setiausaha MOSTI Dr Mohd Nor Azman Hassan, Ketua Setiausaha MOSTI Datuk Dr Aminuddin Hassim, Mohammad Yusof dan Mohammad Hazani pada majlis perasmian R2G 2024 Central di Kuala Lumpur hari ini. - Foto MTDC
KUALA LUMPUR: Penganjuran Road2Growth 2024 Wilayah Tengah (R2G 2024 Central) menandakan satu pencapaian penting dalam perjalanan Malaysia untuk menjadi peneraju global dalam Revolusi Perindustrian Keempat (4IR).
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) Mohammad Hazani Hassan memberitahu, selain memperkasakan industri tempatan melalui teknologi 4IR, acara ini berfungsi sebagai platform untuk merapatkan jurang antara pemain industri, pihak kerajaan, penyelidik dan usahawan.
Beliau berkata demikian kepada Astro AWANI selepas perasmian R2G 2024 Central di sini hari ini.
Majlis perasmian disempurnakan Timbalan Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi (MOSTI) Datuk Mohammad Yusof Apdal. Turut hadir, Ahli Lembaga Pengarah MTDC Fares Zahir.
Mohammad Hazani berkata, dengan gabungan MTDC Road2Growth dan Pameran & Persidangan Teknologi MTDC (MTCE), acara ini berfungsi sebagai platform untuk merapatkan jurang antara pemain industri, pihak kerajaan, penyelidik dan usahawan.
"Kami berharap ini akan menggalakkan kolaborasi strategik serta memudahkan akses kepada sokongan kewangan, teknologi, dan rangkaian yang diperlukan untuk membawa perniagaan mereka ke tahap seterusnya," katanya.
Tambahnya, R2G 2024 Central merupakan acara penting mencerminkan komitmen berterusan MTDC dalam memajukan inovasi teknologi dan memacu pertumbuhan mampan di Malaysia yang menggabungkan dua inisiatif berimpak tinggi.
Dalam pada itu, bertemakan 'Memacu Teknologi 4IR ke Arah Pertumbuhan Mampan', Mohammad Hazani berkata, potensi teknologi 4IR boleh dimanfaatkan bukan sahaja untuk meningkatkan produktiviti, tetapi juga mencipta peluang baharu.
"Teknologi 4IR seperti Kecerdasan Buatan, Internet Benda dan robotik adalah komponen penting dalam memacu industri ke hadapan kerana teknologi ini berupaya meningkatkan produktiviti, kecekapan, dan daya saing.
"Dalam konteks ekonomi global yang semakin mencabar, pemanfaatan teknologi ini boleh membuka peluang baharu, mencipta pekerjaan, dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi mampan.
"Kami yakin bahawa teknologi 4IR boleh menjadi pemangkin bagi transformasi industri tempatan terutama dalam sektor perkilangan, automasi dan inovasi sosial," katanya.
Sementara itu, Mohamad Hazani memaklumkan, MTDC menyokong teknologi 4IR melalui pelbagai inisiatif pembiayaan antaranya program Business Growth Fund dan Business Start-Up Fund, meluluskan dan melabur lebih RM151 juta termasuk menyokong 31 syarikat, mewujudkan lebih 1,137 peluang pekerjaan dan memfasilitasi 60 harta intelek.
#kecerdasan buatan #Road2Growth 2024 Wilayah Tengah #R2G 2024 Central #MTDC
;