R Sivarasa mengaku tidak bersalah hantar imej palsu melalui akaun Facebook

Astro Awani
April 15, 2016 15:08 MYT
Mahkamah menetapkan 27 Mei ini untuk sebutan semula kes dan penyerahan dokumen. - Gambar fail
Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas dua tuduhan menghantar imej palsu melalui akaun Facebook, Mac lalu.
Sivarasa, 60, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Amernudin Ahmad, tengahari tadi.
Sivarasa didakwa atas dua tuduhan menghantar komunikasi palsu iaitu imej muka hadapan majalah TIME menerusi laman Facebook dengan niat menyakitkan hati orang lain.
BACA: MCMC, polis siasat Sivarasa berhubung muat naik kandungan palsu
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di tingkat 11, Menara A, Pandan Capital, Jalan Pandan Utama, Pandan Indah, di sini, jam 7.41 malam pada 22 Mac lalu, diikuti jam 4.59 pagi, 23 Mac lalu.
Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang boleh dihukum penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 tanpa cagaran dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Mei ini untuk sebutan semula kes dan penyerahan dokumen.
#Ahli Parlimen Subang #Facebook #imej palsu #R Sivarasa #TIME
;