#QuranHour dapat 1.4 bilion capaian di media sosial
Wan Syamsul Amly
Mei 30, 2019 17:54 MYT
Mei 30, 2019 17:54 MYT
Capaian #QuranHour tahun ini mendapat 1.415 bilion capaian di media sosial.
Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Dr Hussamuddin Yaacub berkata, ia peningkatan besar berbanding hanya 646 juta capaian pada tahun 2018.
"Yang di antara penyumbang 1.45 bilion sosial media itu adalah Malaysia, Indonesia, India, Pakistan, United Kingdom (UK), Pakistan, Amerika Syarikat (AS) dan Azarbaijan
"Tapi sekarang hampir 28 negara sudah buat, itu yang kita tahu buat, yang mendaftar. Banyak orang buat sendiri, yang mendaftar 2,000 lebih sahaja, tapi yang buat sudah serata dan merata," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas World #QuranHour di Masjid Sultan Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, hari ini.
World #QuranHour merupakan sebuah kempen berimpak tinggi bertujuan menggalakkan setiap individu berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal.
Kempen anjuran WUIF adalah sebuah usaha menjadikan nilai-nilai mulia daripada al-Quran membentuk jiwa berbudi dan penyayang sehingga menjadi cara hidup seharian setiap insan.
Kempen ini merupakan suatu inspirasi agar manusia mampu melonjakkan potensi diri berlandaskan kerangka fikir al-Quran.
World #QuranHour adalah kempen membentuk landasan solidariti Ummah seluruh dunia di bawah naungan al-Quran dengan mengambil semangat dan keberkatan 10 hari terakhir Ramadan.
Ia adalah usaha membentuk komitmen untuk melakukan transformasi diri ke arah yang lebih baik.
Penghayatan surah dihasratkan memberi persediaan dari perspektif fizikal, emosional, intelek dan spiritual dalam konteks Qurani kepada masyarakat.
Ia sekali gus kira perbezaan kedudukan, latarbelakang, ideologi, fahaman politik, etnik mahupun agama; pemimpin mahupun rakyat.
Ia sekali gus boleh dilihat sebagai jenama terkenal yang berjaya mempromosikan budaya membaca al-Quran dalam umat Islam daripada pelbagai lapisan masyarakat, rentas budaya dan negara.
Kejayaan hebat program yang sudah memasuki tahun keempat diadakan secara besar-besaran itu apabila mampu menarik masyarakat Islam di seluruh dunia untuk mengalunkan ayat suci al-Quran pada satu masa.
#al-Kahfi
#AS
#Hussamuddin Yaacub
#Indonesia
#Islam
#media sosial
#Pakistan
#politik
#QuranHour
#rakyat
#Ramadan
#UIAM
#WUIF
#Yayasan Warisan Ummah Ikhlas