QS-WUR 2023: Taylor's University terus cemerlang, naik 48 anak tangga

Ehsan A Marisah
Jun 16, 2022 03:06 MYT
Driscoll berkata, kejayaan itu didorong oleh sokongan yang diterima daripada majikan dan pengurusan akademik. - Foto Taylor's University
SUBANG JAYA: Taylor’s University terus cemerlang dengan menduduki tangga ke-284 peringkat global dalam senarai siri QS World University Rankings 2023.
Kedudukan tersebut menyaksikan peningkatan sebanyak 48 anak tangga berbanding pencapaian tahun lalu, sekali gus menjadikan Taylor’s University sebagai universiti swasta terbaik di Asia Tenggara untuk tiga tahun berturut-turut.
Naib Canselor dan Presiden Taylor’s University, Profesor Michael Driscoll berkata, pencapaian ini meletakkan institusi itu pada satu peratus teratas daripada institusi pendidikan tinggi paling berpengaruh di dunia termasuk universiti berprestij dan elit yang mempunyai sejarah pendidikan lebih 100 tahun.
Katanya, kejayaan itu juga didorong oleh sokongan yang diterima daripada majikan dan pengurusan akademik.
“Pertamanya adalah majikan yang sangat menyokong terutamanya Pengerusi Kumpulan Pendidikan Taylor’s, Datuk Loy Teik Ngan yang sentiasa menggalakkan kami untuk berani melakukan pelbagai perkara yang menarik di kampus ini.
“Selain itu, kami juga mempunyai pasukan yang hebat. Ia terbukti sejak saya menyertai institusi ini enam tahun lalu, saya sentiasa kagum dengan kualiti ditonjolkan oleh semua kakitangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di kampus Taylor’s Lakeside, Subang Jaya, di sini, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Driscoll menambah, pihaknya akan terus komited melahirkan graduan yang cemerlang selain mampu memenuhi kriteria majikan.
“Pengalaman dan kejayaan mereka adalah keutamaan kami.
“Tersenarai antara universiti terbaik di global dan Asia adalah bukti berterusan bahawa graduan kami akan sentiasa berada di barisan hadapan untuk memenuhi permintaan pekerjaan sama ada di peringkat negara mahupun antarabangsa,” jelasnya.
Sementara itu, Taylor’s University juga terus mengekalkan kedudukan terbaik di Peringkat Dunia dengan menduduki tangga ke-16 dalam senarai siri QS World University Rankings by Subject 2022 menerusi program Hospitaliti dan Pengurusan Liburan selain berada di tangga ke-97 bagi program Perniagaan dan Pengajian Pengurusan.
Ia turut menduduki tempat ke-53 di Asia dalam senarai siri QS Asia University Rankings 2022 dan ke-16 di dunia bagi penunjuk Kadar Kebolehpasaran Graduan dalam QS Graduate Employability Rankings 2022.
#taylor's university #universiti #pendidikan #qs world university ranking