Qobin berjaya dibawa keluar dari Union Glacier

Astro Awani
Disember 31, 2017 04:00 MYT
Qobin berjaya dibawa keluar dari Union Glacier, Antartika selepas terkandas akibat cuaca buruk. - Gambar Facebook Datuk Akmar Hisham
Penjelajah negara, Muhammad Muqharabbin Mokhtarrudin yang menamatkan misi penjelajahan ke titik 90 Kutub Selatan berjaya dibawa keluar dari Union Glacier, Antartika.
Muhammad Muqharabbin atau Qobin selamat tiba di Puntas Arenas, Chile kira-kira jam 8 malam tadi.
Penasihat Kelab Eksplorasi 7 Benua (KE7B), Datuk Akmar Hisham Mohd Yusof berkata selepas berjaya menamatkan misi itu pada Khamis lalu, Qobin terkandas di Union Glacier akibat cuaca buruk hingga menyebabkan pesawat tidak boleh beroperasi sama ada untuk mendarat atau berlepas.
Kata beliau, pesawat kemudian dapat berlepas ke Union Glacier susulan keadaan cuaca yang tiba-tiba baik di Antartika hari ini dan Qobin berjaya dibawa keluar dengan selamat.
BACA: Muqharabbin di fasa terakhir dalam misi raih gelaran Penjelajah Grand Slam
"Kini kami sedang mengatur penerbangan Qobin dari Puntas Arenas ke Santiago, Chile. Terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang menyokong dan mendoakan kejayaan Qobin hingga berjaya menamatkan misi dalam tempoh enam hari.
"Terima kasih juga atas doa semua sehingga Qobin berjaya dibawa keluar hari ini dan tahniah kepada pasukan KE7B yang menguruskan ekspedisi ini sejak awal," katanya menerusi catatan laman sosial Facebook malam ini.
Dengan kejayaan itu, Qobin akan diiktiraf sebagai Penjelajah Grand Slam, sekali gus menjadi rakyat Malaysia pertama selain merupakan sejarah baru untuk Malaysia.
#Antartika #Chile #cuaca buruk #Puntas Arenas #Qobin #Union Glacier
;