Qiamullail beramai-ramai, 'Subuh Macam Jumaat’ tarik minat kanak-kanak dekati masjid

Astro Awani
Februari 21, 2024 23:17 MYT
Program Kem Anak Soleh memberi peluang kepada kanak-kanak untuk merasai pengalaman melakukan pelbagai aktiviti di masjid.
ALOR SETAR: Tidur beramai-ramai di dalam masjid, qiamullail dan solat subuh berjemaah mampu memberi impak positif kepada kanak-kanak dalam membentuk nilai-nilai moral dan rohani yang baik.
Menyedari keistimewaan aktiviti terbabit, Masjid al-Islah di Kota Sarang Semut, dekat sini, menganjurkan program Kem Anak Soleh, yang menawarkan pengalaman sedemikian kepada kanak-kanak berusia antara lapan hingga 12 tahun.
Melalui program sempena cuti sekolah selama tiga hari dan dua malam yang disertai seramai 104 anak-anak serta cucu-cucu ahli kariah itu, pelbagai program keagamaan dan motivasi diatur demi memberi ilmu dan nilai berguna kepada mereka.
Imam masjid itu, Wan Mohd Junaidi Wan Ismail, berkata program yang mendapat kerjasama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Gemilang dan Taman Impian itu juga bertujuan mendekatkan kanak-kanak dengan masjid, sekali gus menyedari rumah ibadat itu bukan hanya untuk solat semata-mata.
Beliau berkata, program berkenaan adalah antara aktiviti tahunan yang mendapat perhatian ahli kariah yang menyifatkan ia sebagai peluang untuk anak-anak atau cucu-cucu mereka mengisi cuti sekolah dengan aktiviti bermanfaat.
"Antara objektif kem ini adalah untuk membentuk ciri-ciri anak soleh dalam diri peserta, memantapkan amalan solat, menggalakkan anak-anak mengenal Allah dan rasul serta memotivasikan diri untuk menjadi insan soleh bagi menjamin kejayaan dunia dan akhirat.
"Program ini diatur dalam suasana yang sesuai untuk kanak-kanak. Kita mahu semua sedar bahawa mempelajari agama tidak semestinya membosankan. Dengan pendekatan yang kreatif dan menyeronokkan, kami berusaha untuk menjadikan pembelajaran agama lebih menarik bagi kanak-kanak.
"Antara yang disukai kanak-kanak ini adalah pengalaman tidur di dalam masjid bersama rakan-rakan. Mereka juga bersemangat bangun awal pagi untuk aktiviti qiamullail.
"Kita juga menyahut kempen 'Solat Subuh Macam Jumaat' dengan menjemput waris-waris peserta serta seluruh ahli kariah kawasan ini datang berjemaah bersama-sama. Kita berharap, bilangan jemaah semakin ramai bukan hanya pada waktu subuh, sebaliknya semua waktu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penutup program yang dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundor, Mardhiyyah Johari, di sini, hari ini.
Mardhiyyah dalam ucapannya mengucapkan tahniah kepada penganjur kerana proaktif mengambil tanggungjawab mendekatkan anak kecil dengan masjid melalui program yang menarik minat golongan itu.
"Generasi muda sekarang berhadapan cabaran pengaruh pemikiran yang hebat. Terlalu banyak pengaruh negatif di sekeliling disebabkan akses kepada teknologi yang sukar dikawal. Justeru, program seperti ini amat baik dalam menguatkan asas pegangan agama dan panduan hidup mereka," katanya.
Sementara itu, seorang peserta, Ahmad Amsyar Danial Ahmad Zulkifli, berkata dia tidak menyangka program itu amat menyeronokkan.
"Saya suka melakukan pelbagai aktiviti bersama rakan-rakan dan yang paling seronok adalah kami boleh tidur bersama-sama di masjid. Dulu saya sangkakan masjid hanya tempat untuk solat berjemaah saja, sekarang saya tahu banyak aktiviti boleh dibuat di masjid," katanya.
Seorang lagi peserta, Mohammad Irriq Altamis, berkata dia berpeluang belajar memperbetulkan bacaan dan rukun dalam solat dengan bimbingan fasilitator program itu.
"Saya juga suka aktiviti memanah pada waktu riadah petang. Ini kali pertama saya melakukan aktiviti memanah," katanya.
#subuh macam jumaat #program cuti sekolah #tidur di masjid #kanak-kanak di masjid
;