Qazaf: Bekas Ketua Pendakwa Syarie mohon semakan dan notis rayuan Anwar
Bernama
Mei 19, 2015 22:56 MYT
Mei 19, 2015 22:56 MYT
Bekas Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan Shamsuddin Hussain dan dua yang lain memfailkan permohonan untuk mengetepikan semakan dan notis rayuan dikemukakan Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kes tuduhan qazaf.
Shamsuddin, bekas Pengarah Jabatan Agama Islam (JAWI) Datuk Che Mat Che Ali, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, memfailkannya di Mahkamah Rayuan Syariah di sini di hadapan Ketua Pendakwa Syarie Abdul Ghani Kiflie.
Permohonan itu difailkan pada 13 Mei lalu melalui Tetuan Nailah Ramli & Partners.
Ketika ditemui pemberita, peguam Roslizam Rahim yang mewakili ketiga-tiga mereka itu berkata kesemua dokumen permohonan tersebut telah diserahkan semalam kepada Anwar selaku responden melalui penguasa penjara di Penjara Sungai Buloh.
Roslizam turut menyatakan mahkamah menetapkan 3 Jun ini bagi membolehkan Anwar memberi atau mendapatkan arahan seterusnya kepada peguam-peguamnya.
Anwar dan peguam tidak hadir di mahkamah. Ketiga-tiga mereka memfailkan permohonan interlokutori dengan memohon untuk mengetepikan dan/atau membatalkan notis rayuan yang dikemukakan Anwar pada 23 April 2010.
Notis itu berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Syariah menolak permohonan supaya pihak pendakwaan syarie meneruskan prosiding pertuduhan qazaf terhadap bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Mereka turut memohon untuk mengetepikan dan/atau membatalkan semakan yang dibuat Anwar pada 21 Feb 2012 berhubung keputusan mahkamah itu yang menolak permohonannya (Anwar) untuk meneruskan prosiding qazaf itu terhadap Mohd Saiful.
Ketiga-tiga mereka mendakwa permohonan Anwar itu bersifat cacat. Selain itu, mereka turut memohon kos tindakan ditanggung oleh responden dan perintah-perintah dan/atau relief-relief lain yang difikirkan adil dan suaimanfaat oleh mahkamah.
Dalam afidavit yang turut dikemukakan, Shamsuddin dan Che Mat mendakwa mereka tidak lagi memegang jawatan terdahulu iaitu ketika pemfailan kes rayuan dan permohonan semakan dibuat oleh Anwar.
Shamsuddin dipindahkan pada 3 Nov 2014 ke Bahagian Penasihat, Jabatan Peguam Negara, Putrajaya, manakala Che Mat kini sebagai pengerusi di Pusat Zakat Wilayah Persekutuan dan tidak lagi memegang jawatan sebagai Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) sejak 6 Ogos 2013.
Jamil Khir yang dinamakan pemohon ketiga turut mendakwa Anwar sepatutnya menamakan jawatan dan/atau institusi tersebut sebagai pihak-pihak dan bukannya secara peribadi di dalam kes rayuan dan permohonan semakan yang dibuat Anwar.
Beliau juga mendakwa permohonan yang difailkan Anwar tidak lagi relevan dan bersifat akademik memandangkan Anwar telah disabitkan oleh Mahkamah Persekutuan pada 10 Feb 2015 kerana melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii, mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan.
Pertuduhan qazaf ialah membuat tuduhan terhadap seseorang yang melakukan zina tanpa membawa empat saksi lelaki, dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali.