Qawiy nafi terlibat gangguan seksual

Sinar Harian
Mei 27, 2024 15:00 MYT
Qawiy (bersongkok) terkenal dengan video ‘tebuk’ mengaji di jalanan menafikan kenyataan tular di media sosial menerusi Insta Storynya pada Isnin.
SHAH ALAM: Pempengaruh, Abdul Qawiy Abd Rashit atau dikenali sebagai Qawiy Aro menafikan penglibatannya dalam jenayah gangguan seksual seperti dakwaan yang tular di media sosial.
Qawiy, 27, yang terkenal dengan video ‘tebuk’ mengaji di jalanan berkata, dakwaan tular terbabit sama sekali tidak benar dan menyifatkannya sebagai fitnah.
“Assalamualaikum semua, berkaitan isu dan kenyataan yang tular di sosial media tentang Qawiy.
“Ya, sepatutnya Qawiy tak perlu balas dan jawab kenyataan atau surat terbuka yang tular, tetapi memandangkan ramai yang dah tahu isu ini dan untuk mengelakkan salah faham serta fitnah, Qawiy perlu jelaskan di sini.
“Kenyataan dan cerita yang tular tentang Qawiy di media sosial adalah tidak benar dan fitnah,” katanya menerusi hantaran di Insta Story akaun Instagramnya pada Isnin.
Sebelum ini, tular di platform X satu laporan polis dibuat oleh individu yang mendakwa pempengaruh itu memintanya untuk melakukan perkara tidak senonoh semasa berhubung menerusi panggilan video selama lebih kurang 30 minit.
Individu yang kononnya mangsa gangguan seksual memberitahu bahawa Qawiy sering menghantar mesej berbaur lucah sepanjang perkenalan mereka dan cuba merabanya ketika keluar bersama.
Seorang lagi pengguna aplikasi itu menulis surat terbuka kepada pempengaruh berkenaan dengan mendakwa menerima kiriman mesej daripada Qawiy yang mahu memfailkan saman terhadapnya kerana dianggap terasa terhadap satu kenyataan yang dikeluarkannya. - Sinar Harian
#influencer agama #gangguan seksual #tebuk mengaji #Qawiy Aro
;