Qatar, Arab Saudi sambut baik keputusan ICJ ke atas kes genosid Israel
Bernama
Januari 27, 2024 12:20 MYT
Januari 27, 2024 12:20 MYT
DOHA/RIYADH: Qatar dan Arab Saudi menyambut baik keputusan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada Jumaat mengenai kes pembunuhan beramai-ramai (genosid) yang dibawa Afrika Selatan terhadap Israel, yang mengarahkan Israel mencegah tindakan pembunuhan beramai-ramai di Semenanjung Gaza.
Dalam kenyataan, Kementerian Luar Qatar menyifatkan keputusan mahkamah PBB itu sebagai kemenangan ke atas "kemanusiaan, kedaulatan undang-undang dan keadilan antarabangsa," sambil menambah ia "berperanan sebagai pengakuan yang jelas tentang ancaman besar pembunuhan beramai-ramai yang melanda penduduk Palestin di Gaza."
Ia juga mengulangi sokongan padu Qatar untuk keadilan perjuangan Palestin dan hak sah rakyat Palestin, termasuk "penubuhan negara merdeka mereka berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya."
Sementara itu, Kementerian Luar Arab Saudi dalam satu kenyataan mengesahkan penolakan pendudukan haram Israel di wilayah Palestin dan pelanggaran Konvensyen PBB mengenai Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid.
Ia menggesa masyarakat antarabangsa supaya mengambil langkah untuk mencapai gencatan senjata di Gaza, melindungi orang awam Palestin, dan mendesak Israel bertanggungjawab ke atas pencabulan undang-undang antarabangsa.
Dalam pada itu, Malaysia juga menyambut baik keputusan ICJ dalam kes yang dibawa oleh Afrika Selatan terhadap Israel di bawah Konvensyen Genosid 1948 mengenai Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid.
Kementerian Luar (Wisma Putra) berkata pendirian Malaysia supaya Israel bertanggungjawab atas kekejaman, jenayah terhadap kemanusiaan dan pembunuhan beramai-ramai ke atas rakyat Palestin di Semenanjung Gaza, disokong berikutan keputusan penting ICJ pada Jumaat.
Juga pada Jumaat, Perdana Menteri Palestin Mohammed Shtayyeh turut menyuarakan harapan agar keputusan muktamad ICJ terhadap Israel itu meliputi gencatan senjata serta-merta, memandangkan penderitaan teruk yang dihadapi penduduk Gaza.
Shtayyeh juga menggesa tekanan dibuat ke atas Israel supaya menghentikan tindakan pencerobohannya dan memudahkan kemasukan bantuan kemanusiaan ke wilayah itu.
ICJ di The Hague yang memutuskan permohonan Afrika Selatan ke atas kes pembunuhan beramai-ramai Israel, mengarahkan Israel supaya mengambil semua langkah yang mungkin untuk mencegah tindakan pembunuhan beramai-ramai di Gaza dan menuntut Israel melaporkan langkah-langkah yang diambil berkenaan perintah itu dalam tempoh sebulan.
Mahkamah, bagaimanapun, tidak mengarahkan Israel menangguhkan operasi ketenteraannya di Gaza, salah satu permintaan utama yang dikemukakan oleh Afrika Selatan, sambil turut meminta Hamas membebaskan semua tebusan Israel.
Afrika Selatan memfailkan tuntutan mahkamah terhadap Israel kepada ICJ pada 29 Dis 2023, menuduh Israel melanggar Konvensyen PBB mengenai Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid yang berkaitan dengan penduduk Palestin di Gaza.
--BERNAMA-XINHUA