Qaseh Aulia disahkan meninggal dunia kerana sesak nafas - Ibu
Astro Awani
November 18, 2023 12:40 MYT
November 18, 2023 12:40 MYT
KUALA LUMPUR: Hasil bedah siasat ke atas Qaseh Aulia Faizul yang meninggal dunia di sebuah taska di Seksyen 6, Kota Damansara pada Oktober lalu mendapati, bayi berusia dua bulan itu maut akibat sesak nafas.
Menurut ibu mangsa, Maisarah Rosli, punca kematian itu dinyatakan dalam laporan hasil bedah siasat yang diperoleh daripada pakar perubatan forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada Jumaat.
“Sesungguhnya jangkaan awal kami adalah benar, punca kematian disebabkan oleh sesak nafas berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan Qaseh Aulia diletakkan dalam posisi meniarap dalam keadaan dibedung,” dakwa Maisarah dalam satu kenyataan hari ini.
Dia yang mendakwa terdapat unsur kecuaian dalam kejadian itu menegaskan, akan terus berusaha untuk mencari keadilan dan tidak menolak kemungkinan mendapatkan khidmat guaman.
“Semoga kematian bayi kami dapat keadilan sewajarnya. Kami akan menyerahkan siasatan sepenuhnya kepada pihak berkuasa dan sedia memberi kerjasama dalam proses bagi mendapatkan keadilan.
“Ucapan terima kasih juga kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan PPUM yang memberikan komitmen tinggi dalam kes ini,” tambahnya.
Sebelum ini, Qaseh Aulia dilaporkan meninggal dunia di sebuah taska di Seksyen 6, Kota Damansara pada 10 Oktober lalu.
Bayi itu telah menjalani proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematian, dan selamat dikebumikan pada hari berikutnya.
Susulan kematiannya, PDRM menahan seorang pengasuh warga asing bagi dirakam percakapan sebelum dia dibebaskan dengan jaminan.
JKM turut menyita taska berkenaan kerana dilaporkan tidak berdaftar bersama jabatan itu.