Qari, qariah Malaysia juara Tilawah Al-Quran Antarabangsa
Bernama
April 20, 2019 00:46 MYT
April 20, 2019 00:46 MYT
Qari dan qariah Malaysia, Abdul Khair Jalil dan Nor Farhatul Fairuzah Panut masing-masing diumumkan johan kategori Tilawah pada Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-61, malam ini.
Pada majlis yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu, Abdul Khair memperoleh markah 93.02 peratus manakala Nor Farhatul Fairuzah meraih 87.05 peratus.
Kedua-dua mereka membawa pulang hadiah jongkong emas bernilai RM70,000, wang tunai RM40,000 dan piala iringan disampaikan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah yang berkenan berangkat ke majlis itu.
Sementara itu, Yassine Bekouassa dari Algeria muncul naib johan qari dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000 manakala tempat ketiga dimenangi qari Maghribi, Ilyas Lamhayahoui yang menerima wang tunai RM20,000.
Wardatun Nisa Hasa dari Indonesia pula muncul naib johan qariah dan tempat ketiga dimenangi qariah Thailand, Karimah Hayibaraheng, dengan masing-masing turut membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000 dan RM20,000.
Bagi kategori Hafazan Al-Quran Lelaki, Mohamed Abdi dari Sweden muncul juara setelah memperoleh markah 96.05 peratus manakala Mohammad Maruf Hossain dari Kanada di tempat kedua dengan 94.26 peratus dan Heytham Sagar Ahmad (Kenya) di tempat ketiga apabila meraih 94.11 peratus.
Kategori Menghafaz Al-Quran Wanita pula dimenangi Fatouma Ousseni Moussa dari Niger yang mendapat markah 92.96 peratus, di tempat kedua Hadeel K.A Madfaa (Palestin) 92.83 peratus dan Hasiya Usman Jibrilla Mohammed (Nigeria) di tempat ketiga setelah memperoleh 88.58 peratus.
Juara setiap kategori Hafazan Al-Quran turut menerima jongkong emas bernilai RM70,000, wang tunai RM25,000 dan piala iringan, manakala naib juara dan tempat ketiga masing-masing membawa pulang wang tunai RM20,000 dan RM15,000.
Turut berangkat ke majlis itu ialah Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim. Hadir sama Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.
MTHQA61 yang bertemakan 'Menyantuni Umat Membawa Rahmat', berlangsung selama enam hari bermula 15 April lepas, dengan jumlah penyertaan seramai 99 peserta dari 68 negara.
Sementara itu, Abdul Khair yang juga pensyarah dalam bidang Al-Quran di sebuah universti tempatan mengakui berhadapan cabaran besar, kerana mahu mengekalkan kejuaraan Malaysia yang menjadi johan kategori sama tahun lepas.
"Tidak dinafikan, memang satu cabaran besar (kekalkan kejuaraan negara) namun dengan persiapan rapi, latihan dan berkat doa, hari ini kejayaan milik saya," katanya kepada pemberita.
Katanya, dia berhasrat menggunakan hadiah wang tunai yang dimenanginya itu untuk membawa keluarga menunaikan haji.
Bagi Nor Farhatul Fairuzah, pelajar tingkatan enam Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu, Seremban, beliau amat teruja kerana berjaya menjadi juara, biarpun baru pertama kali bertanding di peringkat antarabangsa.
"Saya akan gunakan hadiah ini untuk membalas jasa kedua ibu bapa dan gunakan untuk melanjutkan pelajaran ke universiti," katanya yang ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang syariah.
-- BERNAMA
#Al-Quran
#Algeria
#hadiah
#hafazan
#Indonesia
#Maghribi
#Majlis Tilawah
#Malaysia
#menghafaz al-Quran
#MTHQA
#qari
#qariah
#Sultan Nazrin Shah
#Thailand