Q'Fish atasi masalah bekalan ikan

Bernama
Mac 1, 2017 13:14 MYT
Kekurangan bekalan yang membawa kepada kenaikan melampau harga ikan ketika ini berpunca daripada musim Monsun Timur Laut dan Monsun Angin Timur. - Astro AWANI/Shahir Omar
Bagi mengatasi kekurangan bekalan ikan ketika ini yang menyebabkan harganya melambung, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) telah mengaktifkan pengedaran stok simpanan ikan segar sejuk beku Q'Fish.
Pengerusi LKIM, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim berkata Q'Fish adalah ikan segar yang telah dibekukan dan merupakan satu langkah memastikan bekalan ikan secara konsisten serta mencukupi melalui pewujudan stok simpanan secara sejuk beku.
"Q'Fish merupakan satu penjenamaan semula menggantikan Program Ikan Rakyat LKIM yang mula diperkenalkan pada tahun 2013," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Katanya, inisiatif itu dilakukan dengan kerjasama Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) selain persatuan nelayan negeri atau kawasan untuk memenuhi permintaan ikan yang tinggi.
"Program itu menawarkan pembeli pelbagai pilihan ikan Q'Fish seperti kembung, cencaru, talapia, keli selain udang dan sotong dengan harga jualan adalah 40 hingga 50 peratus lebih murah daripada pasaran," katanya.
Irmohizam berkata kekurangan bekalan yang membawa kepada kenaikan melampau harga ikan ketika ini berpunca daripada musim Monsun Timur Laut dan Monsun Angin Timur yang melanda negeri-negeri di Pantai Timur dan Utara Semenanjung mulai November hingga Mac.
"Dalam tempoh berkenaan, nelayan bot kecil kurang turun ke laut kerana keadaan cuaca tidak menentu dan berbahaya kepada mereka menyebabkan pendaratan bot di jeti nelayan berkurangan dan menjadi faktor utama hasil tangkapan ikan menurun," katanya.
Selain Q'Fish, langkah lain yang diambil oleh LKIM untuk mengatasi masalah kekurangan bekalan adalah dengan mengimport ikan, serta melaksanakan sekatan eksport ketika negara berhadapan dengan masalah kekurangan bekalan.
Irmohizam berkata hampir 300 tan ikan segar telah diimport oleh Nekmat dan pengimport ikan tempatan dalam tempoh November tahun lepas hingga Februari lalu.
"Pelaksanaan import dan sekatan eksport bertujuan memastikan bekalan ikan mencukupi bagi rakyat tempatan dengan tawaran harga berpatutan," katanya.
Katanya, antara spesies ikan yang termasuk dalam sekatan eksport itu ialah ikan tongkol, cencaru, kembung, selar, selayang, pelaling dan pari.
Menurutnya, masalah kekurangan bekalan ikan di pasaran ketika ini dijangka pulih sepenuhnya pada awal bulan depan.
-- BERNAMA
#bekalan ikan #bekalan sejuk beku #Irmohizam Ibrahim #LKIM #stok simpanan ikan
;