PWSI 2050: Pelan kontingensi Pulau Pinang tangani risiko air mentah

Bernama
September 8, 2020 06:11 MYT
Paras air di dua Empangan utama di Pulau Pinang iaitu Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang berada jauh lebih rendah daripada kapasiti efektif biasa disebabkan oleh musim kemarau awal tahun ini. -Gambar fail/ Bernama
Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) telah menyusun Inisiatif Bekalan Air Pulau Pinang 2050 (PWSI 2050) menggariskan tiga pelan kontingensi untuk mengurangkan risiko air mentah yang dihadapi Pulau Pinang.
Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP Datuk Jaseni Maidinsa hari ini berkata PWSI 2050 adalah perlu disebabkan tiga faktor utama iaitu perubahan iklim telah mengubah corak hujan di Pulau Pinang, pengurangan bekalan air mentah di Sungai Muda dan rundingan dengan Perak mengenai Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS) yang menemui jalan buntu.
Beliau berkata tiga pelan kontingensi itu termasuk pembinaan modul rawatan air 114 MLD (juta liter sehari) baharu di Loji Rawatan Air Sungai Dua, Skim Bekalan Air Sungai Perai (SPWSS) dan Fasa 1 Skim Penyahgaraman Bekalan Air Pulau Pinang (PDWSS).
"PBAPP telah menyediakan satu kajian kebolehlaksanaan terhadap projek PWSI 2050 yang dicadangkan.
"Kajian kebolehlaksanaan itu sedang dijalankan oleh perunding kejuruteraan bebas dan dijadual selesai menjelang Januari tahun depan," katanya pada sidang media di sini.
SPWSS bertujuan memanfaatkan Sungai Perai sebagai sumber air mentah tambahan bagi Pulau Pinang dan SPWSS bakal meneroka kemungkinan menggunakan teknologi rawatan air alternatif untuk merawat air mentah dengan betul sebelum disalurkan kepada pengguna.
Sementara itu, Fasa 1 PDWSS yang dijadual akan beroperasi pada Disember 2024, mencadangkan pembinaan kemudahan penyahgaraman air laut di kawasan selatan Pulau Pinang.
Menurut Jaseni, PWSI 2050 mempunyai potensi hasil keseluruhan 500 MLD air untuk Pulau Pinang.
Beliau berkata semua aspek projek PWSI 2050 termasuk anggaran, masa, tender awam dan dasar pelaksanaan akan tertakluk kepada persetujuan oleh kerajaan Pulau Pinang terlebih dahulu.
Beliau juga menegaskan PWSI 2050 tidak melibatkan atau menjejaskan pelaksanaan SPRWTS oleh Kerajaan Persekutuan, abstraksi air mentah dari Sungai Muda dan pemuliharaan 160,000 hektar hutan hujan di Ulu Muda.
"Objektif utama PWSI 2050 adalah untuk memperkenalkan projek bekalan air tambahan yang akan membantu kita memenuhi permintaan air untuk masa hadapan.
"Untuk jangka masa panjang, Pulau Pinang masih memerlukan SPRWTS, air mentah dari Sungai Muda dan pemuliharaan Ulu Muda untuk memastikan keselamatan air mentah menjelang 2050," katanya.
-- BERNAMA
#bekala air #hujan #iklin #Inisiatif Bekalan Air Pulau Pinang 2050 #jangka panjang #kerajaan #keselamatan #PBAPP #pulau pinang #sumber #Sungai #terawat
;