Putuskan rantaian rasuah dari 'bilis' sehingga ke 'jerung'

Astro Awani
Mac 15, 2021 23:58 MYT
Datuk Hussamuddin Yaacub menjelaskan, langkah itu penting memandangkan rasuah kini sudah berakar umbi dalam ekosistem ekosistem masyarakat. - Foto Facebook Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Rasuah perlu diatasi dengan memutuskan rantaian di peringkat kecil atau 'ikan bilis' sehingga ke peringkat atasan atau 'jerung'.
Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub menjelaskan, langkah itu penting memandangkan rasuah kini sudah berakar umbi dalam ekosistem ekosistem masyarakat.
"Maknanya teori saya adalah orang kata kita sibuk dengan jerung. Jerung dia boleh jadi besar kenapa? Kerana bilis dimakan ikan kembung dimakan cencaru, tenggiri sampailah ke jerung. Jadi kita kena selesaikan di bilis dulu," katanya dalam Program Sinar Live Mr Rasuah Buster yang dihoskan Tan Sro Johan Jaaffar pada Isnin.
Hussamuddin yang juga Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf berkata, aktiviti memberi dan menerima rasuah diibaratkan satu penyakit yang perlu diselesaikan dari peringkat bawah lagi.
"Maknanya kita kena putuskan rantaian itu dahulu, walaupun sekecil-kecil. Saya yakin orang yang ambil dengan saya RM5 tahun 1978 dulu mungkin dia sudah pencen, namun mungkin sebelum pencen itu dia sudah jadi pengarah bahagian. Jadi dia tidak ambil RM5 lagi, dia ambil RM5 juta. Jadi itulah penyakitnya," ujarnya.
Pada masa sama, katanya, negara mampu bersih dari rasuah jika setiap anggota masyarakat kembali kepada sistem kepercayaan agama masing-masing.
"Orang Islam kembali kepada ajaran Islam yang betul, orang Kristian, orang Hindu balik kepada (agama) Hindu, Buddha juga balik kepada kepercayaan Buddha.
"Apabila kepercayaan dan nilai dalam diri, maka dia akan jaga keluarga dia. Keluarga dia akan jaga lingkungan dia. Maka itulah untuk memutuskan rantaian," tambahnya.
Justeru katanya, gerakan rasuah yang digerakkannya bukan bertujuan menangkap orang politik.
Sebaliknya, ia bermatlamat untuk menangkap perbuatan rasuah dalam hati setiap masyarakat dengan cara memutuskan rantaiannya.
#GERAKAN #rasuah busters #Karangkraf #keluarga #Bersih #Rasuah #Hussamuddin Yaacub #jerung #ikan bilis
;