Putus tangan, lelaki didenda RM2,000 buat tuntutan insurans palsu RM500,000
Dewi Nur Harasha Alias
November 8, 2021 17:07 MYT
November 8, 2021 17:07 MYT
BUTTERWORTH: Dua lelaki didenda RM2,000 di Mahkamah Majistret Seberang Perai di sini, hari ini, atas kesalahan membuat tuntutan insurans palsu sebanyak RM500,000 pada April 2019.
Majistret Noor Farah Hazwani Osman membuat keputusan tersebut selepas Muhammad Akmal Aliff Omar, 29, dan Muhamad Rizal Ahmad, 34, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan sekali lagi terhadap mereka
Mereka dituduh secara bersama telah menipu syarikat The Pacific Insurance Bhd yang mendorong syarikat itu untuk membuat bayaran tuntutan insurans sebanyak RM500,000 atas kemalangan yang tidak wujud.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada 4 April 2019 di The Pacific Insurance Bhd., 40-01, Q Sentral, 2A, Jalan Steen Sentral 2, Kuala Lumpur.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 417 atau Seksyen 511 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 34 kanun sama.
Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-dua sekali.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurameera Shahrul Azrin, manakala Muhammad Akmal Aliff dan Muhamad Rizal diwakili peguam Lily Syarmeela Asyiqin Hamid.
Terdahulu, Lily Syarmeela Asyiqin memohon mahkamah memberi hukuman ringan dengan alasan ia adalah kesalahan pertama mereka, selain tidak memperoleh sebarang keuntungan hasil tuntutan insurans tersebut.
Katanya, Muhammad Akmal yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dan Muhamad Rizal yang bekerja kampung dengan gaji masing-masing RM1,000 sebulan, juga perlu menyara keluarga.
Jumaat lalu, kedua-dua tertuduh mengaku bersalah di hadapan Penolong Pendaftar Mahkamah Butterworth, Nigel Jirin di mahkamah sama dan dibenarkan ikat jamin RM3,000 setiap seorang.
Mengikut fakta kes, Muhamad Akmal membuat tuntutan insurans mendakwa Muhamad Rizal telah melanggarnya semasa menunggang motosikal di KM 161.5 Lebuh Raya Utara Selatan sehingga menyebabkan tangan kirinya putus sehingga ke paras bahu.
Bagaimanapun, hasil siasatan yang dilakukan syarikat yang dilantik pihak insurans, tiada kemalangan berlaku melibatkan motosikal dan kereta sebaliknya Muhamad Akmal terbabas sendiri dan melanggar penghadang jalan sehingga menyebabkan tangan kirinya putus.