Putrajaya jadi tumpuan warga tempatan, asing beriadah
Raja Hisyam Raja Zaid
September 25, 2021 20:43 MYT
September 25, 2021 20:43 MYT
PUTRAJAYA: Kelonggaran membabitkan aktiviti rekreasi dan riadah melegakan banyak pihak yang menggunakannya untuk meluangkan masa berkualiti bersama keluarga termasuk anak-anak.
Banyak kawasan menjadi tumpuan mereka terutama pada hujung minggu dan di Putrajaya, antara yang popular termasuk Dataran Putrajaya serta Tasik Putrajaya.
Tidak hanya dikunjungi penduduk Putrajaya, kawasan terbabit turut menggamit mereka yang datang dari luar.
Tinjauan Astro AWANI petang tadi menyaksikan lokasi tersebut meriah dengan kenderaan yang mula memasuki kawasan Putrajaya bermula jam 5 petang.
Menurut seorang peniaga, Wan Khairul Wan Azmi, yang ditemui di Dataran Putrajaya, kawasan berkenaan biasanya meriah bermula jam 4 petang sehingga 10 malam pada hari minggu.
“Tengok pada keadaan cuaca dan hari jugalah. Biasanya kalau hari minggu tu awal sikit dan suasana ramai begini akan berlangsung sehingga 10 malam.
“Di sini bukan setakat orang tempatan sahaja tapi kebiasaannya memang ada ramai juga warga asing yang berkunjung di kawasan ini,” jelasnya yang menjual permainan kanak-kanak.
Pematuhan SOP | Tinjauan di Bagan Lalang
Tinjauan turut mendapati, rata-rata pengunjung mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan menjaga penjarakan fizikal selain memakai pelitup muka sepanjang masa.
Seorang pengunjung, Khairul Izham Khairul Anwar 32, yang membawa keluarganya ke situ berkata, kebimbangan mengenai jangkitan COVID-19 tetap ada justeru dia menekankan pematuhan SOP.
“Kalau tengok situasi atau keadaan di Putrajaya ini memanglah ramai orang, tapi kita sebagai individu perlu memainkan peranan dan menunaikan kewajipan dalam menjaga SOP yang ditetapkan.
“Tentulah penguat kuasa takkan mampu untuk jaga semua orang pada setiap tempat jadi kesedaran individu itu penting dan saya tengok di sini semua yang datang mematuhi SOP," katanya.
Laluan masuk ke Dataran Putrajaya didapati sesak sepanjang tinjauan, namun terkawal dengan kehadiran anggota polis di lokasi-lokasi tertentu bagi memastikan kelancaran trafik di kawasan terbabit.