Putrajaya Holdings pastikan kakitangan divaksin menerusi Program PPV bergerak
Eton Khir
Jun 21, 2021 18:29 MYT
Jun 21, 2021 18:29 MYT
PUTRAJAYA: Putrajaya Holdings Berhad Sdn Bhd akan memastikan kesemua 2,000 pekerja di bawah kendaliannya menerima vaksin COVID-19.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Hashimah Hashim, berkata pada fasa pertama pemberian vaksin hari ini, 600 pekerja telah diberikan vaksin di bawah Program Vaksinasi @ Wilayah Prihatin bagi mempercepatkan proses imuniti kelompok.
Beliau berkata, program itu dijalankan secara kerjasama Putrajaya Holdings dan pihak Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) khusus buat pekerja warganegara Malaysia dalam bidang perkhidmatan pembinaan, kilang, dan hospitaliti di Putrajaya.
"Buat masa ini di Putrajaya Holding mempunyai 2,000 pekerja binaan tetapi yang jelas, perbincangan masih dijalankan bersama YB dan kami akan berusaha untuk imunisasi Fasa Kedua bagi pekerja pembinaan termasuk pekerja asing. Namun ditegaskan, keutamaan sekarang adalah untuk pekerja tempatan dan seterusnya barulah untuk pekerja warga asing," katanya kepada Astro AWANI.
Sementara itu, penerima vaksin menyifatkan inisiatif pemberian suntikan vaksin secara Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bergerak hari ini, bukan sahaja melindungi pekerja, tetapi akan dapat mengurangkan jangkitan di tempat kerja.
Menurut Ainudin Ali, 38, PPV bergerak sangat efektif kerana dapat membantu mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 dan program ini amat penting bagi pekerja industri sepertinya.
"PPV bergerak ni bagus kerana dapat memgurangkan risiko tertumpu di satu tempat dan satu lagi sebab ia dibuat di kawasan pejabat, kami lebih selesa serta dekat dengan kawasan tempat kerja.
"Kami yang bekerja di bidang loji, bekerja 24 jam sehari jadi kami sangat-sangat memerlukan vaksinansi ini secepat yang mungkin," katanya.
Manakala, bagi Wan Raihanatun Wan Mohamad Halim, 44, fasiliti PPV yang disediakan sangat membantu dan memberangsangkan.
"Program ni memang sangat bagus dan perlu diteruskan supaya kita dapat membantu mempercepatkan rancangan kerajaan kita untuk semua rakyat divaksin serta mencapai imuniti kelompok.
"Fasiliti memang tiada masalah, macam di sini memang kami berpuas hati sebab tidak berpanas dan semuanya selesa.
"Kalau bolehlah, saya syorkan mana-mana syarikat yang belum buat atau belum berdaftar, buatlah macam ini untuk kakitangan masing-masing, jangan berkira sangat supaya kita semua dapat hidup lebih selesa selepas ini," tambahnya.
Bagi Akmal Latiff, 41, inisiatif ini perlu diteruskan bagi mempercepatkan proses pembukaan semula ekonomi.
"Saya berpendapat ini salah satu inisiatif yang bagus dan dapat saya katakan untuk industri lain kita galakkan untuk sama-sama menjalankan aktiviti berdasarkan syarikat masing-masing. Ini untuk mempercepatkan proses ekonomi dibuka," katanya.
#Astro
#Astro Awani
#Putrajaya
#ekonomi
#warga asing
#Malaysia
#COVID-19
#program vaksinasi
#vaksin
#suntikan
#PPV
#jangkitan
#imuniti kelompok