Putrajaya, 3 negeri catat sifar miskin tegar tahun lepas
Bernama
Februari 6, 2025 15:15 MYT
Februari 6, 2025 15:15 MYT
Wilayah Persekutuan Putrajaya adalah antara yang telah mencatatkan sifar miskin tegar. - Gambar hiasan/ Bernama
KUALA LUMPUR: Usaha Kerajaan MADANI untuk menoktahkan kemiskinan tegar menunjukkan kemajuan yang sangat memberangsangkan, dengan tiga negeri dan satu wilayah Persekutuan berjaya mencatatkan sifar miskin tegar pada tahun lepas.
Kementerian Ekonomi memaklumkan, berdasarkan Bank Data Kemiskinan Nasional eKasih sehingga 31 Dis lepas, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Perlis telah mencatatkan sifar miskin tegar. Secara keseluruhan, sebanyak 1,793 ketua isi rumah (KIR) miskin tegar direkodkan di seluruh negara.
"Ketika ini, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur masih merekodkan bilangan KIR miskin tegar tertinggi dengan 507, diikuti Kedah (314), Johor (298), Selangor (168), dan Terengganu (124).
"Sementara bilangan KIR miskin tegar di Kelantan sebanyak 81, Sabah (80), Pulau Pinang (67), Perak (57), Pahang (46), Wilayah Persekutuan Labuan (43) dan Sarawak (lapan)," menurut kementerian itu dalam jawapan bertulis di portal Parlimen hari ini.
Kementerian Ekonomi menjelaskan hal berkenaan bagi menjawab persoalan yang dikemukakan Datuk Abdul Khalib Abdullah (PN-Rompin) mengenai statistik terkini kemiskinan tegar mengikut negeri dan pencapaian sasaran menoktahkan miskin tegar, sehingga akhir 2024.
Dalam usaha terus mengurangkan kemiskinan tegar, kerajaan bertekad untuk mempergiatkan inisiatif jangka sederhana dan panjang selaras dengan Kerangka Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat.
Usaha ini termasuk meningkatkan pendapatan golongan sasar, menyediakan peluang pekerjaan, meningkatkan akses kepada sokongan sosial seperti pendidikan, kesihatan, dan perumahan, serta memperbaiki taraf hidup dan kesejahteraan isi rumah miskin.
-- BERNAMA