Puting beliung rosakkan 14 rumah, masjid di Yan

Adie Sufian Zulkefli
Mac 24, 2021 21:51 MYT
Sepasukan anggota dan pegawai APM Daerah Yan membantu membersihkan bahagian bumbung yang tercabut dan memindahkan barangan mangsa ke kawasan selamat. - Gambar/ Astro AWANI
YAN: "Saya segera capai anak yang berada dekat tingkap dan dukung dia bawa lari ke bilik untuk berlindung," kata Siti Norshakirah Rosdi, 25, yang terselamat dalam kejadian puting beliung di Kampung Sungai Kering, Yan pada Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, sebahagian bumbung rumahnya diterbangkan puting beliung dan banyak cermin tingkap kediamannya itu pecah.
Menceritakan kejadian itu, Siti Norshakirah berkata, dia hanya tinggal bersama anaknya Muhammad Ammar, yang berusia setahun manakala suaminya Mohd Firdaus Darus, 25, berada di tempat kerja.
Katanya, kejadian berlaku sangat pantas apabila angin kuat melanda secara tiba-tiba menyebabkan rumahnya bergegar.
"Anak saya sedang main dekat tepi tingkap... saya panggil dia datang kepada saya dan terus angkatnya... nasib baik saya sempat bawanya jauh dari tingkap itu sebelum ia mula pecah.
"Kami berlindung dalam bilik sampai angin kuat itu reda," katanya.
Kejadian sama turut dialami Darus Ismail, 63, yang ketika kejadian itu hanya mampu melaungkan azan sambil melihat sebahagian bumbung dan dinding rumahnya yang berusia 60 tahun itu diterbangkan angin.
"Saya bersama isteri dan anak berusia 18 tahun berada di dalam rumah. Kami berlindung di dapur. Kami nampak bumbung itu terangkat dan tercabut. Bunyi zink, kayu patah sangat kuat dan menakutkan kami," katanya yang kali pertama berhadapan keadaan sedemikian.
Sementara itu Ketua Bahagian Operasi Bencana, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Kapten (PA) Saifuddin Abdullah berkata kejadian puting beliung itu mengakibatkan 14 rumah serta sebuah masjid mengalami kerosakan teruk di bahagian bumbung dan dinding.
"Ia melibatkan 70 orang mangsa yang kini terpaksa berpindah sementara di rumah saudara mara dan masjid," katanya.
Fenomena Alam | 14 rumah, masjid rosak akibat puting beliung
Katanya, lapan anggota dan pegawai APM Daerah Yan membantu membersihkan bahagian bumbung yang tercabut dan memindahkan barangan mangsa ke kawasan selamat.
Katanya, ini kejadian puting beliung pertama bagi tahun ini selepas kejadian tahun lalu yang menyebabkan kerosakan lebih 50 buah rumah di daerah itu.
#puting beliung #Yan #Kedah #rumah bergegar #bumbung tercabut #angin kuat #APM #mangsa #rumah #masjid #bumbung #dinding
;