'Puting beliung mini' adalah fenomena biasa selepas ribut petir - Pakar

Raja Hisyam Raja Zaid
Januari 31, 2022 17:40 MYT
Dalam kejadian semalam beberapa buah rumah di sekitar Bandaraya Ipoh termasuk di Taman Tasek Damai dan Kampung Tawas, dilaporkan rosak ekoran kejadian ribut yang digambarkan sebagai puting beliung. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kejadian puting beliung kecil atau mini adalah satu kejadian yang pada kebiasaannya berlaku selepas terjadinya ribut petir di sesuatu kawasan.
Menurut Pakar Kilat Hartono Zainal Abidin, orang ramai perlu sentiasa berjaga-jaga setiap kali berdepan dengan situasi ribut petir dan angin kencang bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.
"Apabila anda dapati berlakunya ribut petir ia bermakna anda bukan sahaja akan berdepan dengan kilat tetapi juga kemungkinan berlakunya 'mini puting beliung'.
"Orang ramai perlu berjaga-jaga dan sentiasa lihat ke langit sekiranya terdapat fenomena tersebut (puting beliung mini) itu kelihatan. Jikapun ia tidak kelihatan kita masih perlu berjaga-jaga kerana biasanya ribut itu akan berlaku dan bersekali dengan angin kuat," jelasnya kepada Astro AWANI.
Cuaca | Memahami fenomena angin kencang dan puting beliung
Tambahnya lagi, orang ramai tidak seharusnya berada di kawasan luar kediaman setiap kali berlakunya kejadian ribut petir atau puting beliung mini, tetapi perlu segera mendapatkan kawasan atau tempat perlindungan yang selamat.
Kejadian yang berlaku di Taman Tasek Damai dan Kampung Tawas, Ipoh, Perak semalam disifatkan perkara biasa dan tidaklah besar sepertimana kebiasaan yang dialami oleh negara lain seperti Amerika Syarikat dan sebagainya.
"Ya, ia adalah biasa dan saya telah melakukan pemerhatian terhadap perkara ini selama 20 tahun dan ia sebenarnya fenomena puting beliung mini ini semakin meningkat pada setiap tahun.
"Seperti mana yang anda boleh lihat apa yang berlaku semalam lebih seratus buah rumah rosak akibat angin tersebut.Saya percaya ini adalah kali pertama fenomena ini telah menyebabkan kerosakan sedemikian rupa," jelasnya lagi.
Bencana Alam | Puting beliung makin kerap berlaku - Pakar
BACA: Rumah rosak, pokok tumbang akibat 'puting beliung' di Ipoh
Dalam kejadian semalam beberapa buah rumah di sekitar Bandaraya Ipoh termasuk di Taman Tasek Damai dan Kampung Tawas, dilaporkan rosak ekoran kejadian ribut yang digambarkan sebagai puting beliung.
Kejadian turut menyebabkan beberapa pokok tumbang dan menimpa rumah yang berhampiran.
#Amerika Syarikat #Astro #Astro Awani #bomba #Ipoh #Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia #JBPM #Malaysia #puting beliung
;