Puteri Umno serah pemilihan calom pada pemimpin
Bernama
Februari 21, 2013 19:29 MYT
Februari 21, 2013 19:29 MYT
Puteri Umno menyerahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan parti berkenaan bilangan kerusi yang akan ditandingi wakil pergerakan itu pada pilihan raya umum ke-13 ini.
Naib Ketua Puteri Umno Shahanim Mohamad Yusof berkata apa yang penting bagi Puteri Umno, calon yang dipilih oleh pimpinan itu adalah calon yang boleh menang dan pergerakan itu akan membantu untuk memastikan kemenangan calon Umno dan Barisan Nasional (BN).
"Pandangan saya secara peribadi, saya tidak kisah mengenai kuota, yang penting siapa boleh menang, letak sahaja asalkan calon itu calon yang rakyat mahukan dan boleh memberi kemenangan kepada BN.
"Dalam keadaan negara ketika ini, kami serah kepada pucuk pimpinan untuk menentukannya. Kalau tempat itu untuk lelaki tetapi orang kata calon wanita boleh menang, letak calon wanita. Begitu juga jika tempat itu wanita tetapi orang mahu calon lelaki dan dia boleh menang, letak calon lelaki," katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perbarisan Tamat Kursus Asas Rela siri 2/2013 di Pusat Latihan Rela Wilayah Utara, Bukit Selambau, dekat sini Khamis.
Shahanim berkata beliau menghargai sekiranya Puteri dan Wanita, diberi kepercayaan untuk bertanding pada pilihan raya umum ke-13.
"Saya hargai kalau pucuk pimpinan rasa calon-calon wanita boleh menang dan mencalonkan wanita. Saya ucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan yang menilai bukan dari segi kelayakan tetapi pemimpin di sesuatu kawasan yang boleh buat kerja," katanya.
Shahanim berkata di Kedah, Puteri dan Wanita Umno sudah bergerak sejak lima tahun lalu untuk membantu BN kembali mentadbir Kedah, dan Puteri Umno sememangnya sudah bersedia menggerakkan jenteranya bagi membantu calon BN meraih kemenangan.
Beliau berkata Puteri Umno diberi tanggungjawab mengendalikan urusan teknologi maklumat, peraih undi serta bersama-sama wanita Umno untuk mengeluarkan pengundi di kalangan wanita muda dan wanita veteran.
"Kita tidak mengira siapa pun pengundi (wanita muda atau veteran), sekarang ini kita fokus kepada satu pengundi, satu undi, demi memastikan kemenangan BN," katanya.
Turut hadir pada majlis itu Komandan Pusat Latihan Rela Wilayah Utara Kol Md Puad Ahmad dan Pengarah Rela Kedah Mehat Ahmad.