Puteri UMNO perlu galas tanggungjawab perkasa wanita muda - PM

Harits Asyraf Hasnan
September 24, 2016 06:24 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak juga mahu Pergerakan Puteri UMNO mahu pergerakan itu menyediakan wanita muda di negara ini dalam menghadapi cabaran masa hadapan. - Foto Astro AWANI / Firdaus Idris
Pergerakan Puteri UMNO Malaysia perlu memberi penjelasan kepada generasi wanita muda bahawa perjuangan UMNO adalah yang terbaik jika dibandingkan pembangkang.
Itu cabaran yang dilontarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak seiring hasrat kerajaan yang mahu lebih ramai ikon wanita muda dilahirkan di negara ini.
"Saya mahu Puteri UMNO terus berjuang bersungguh-sungguh supaya generasi muda, wanita muda akan menganggap bahawa wadah perjuangan yang baik untuk mereka adalah wadah perjuangan yang dipelopori oleh parti UMNO dan Barisan Nasional (BN).
"Ini tugas Puteri (UMNO) meyakinkan generasi muda, faham mengapa wadah kita yang terbaik, mengapa kita ada agenda pembangunan dan transformasi. Kenapa belah sana hanya main politik kebencian, memburukkan orang lain, tetapi mereka tidak ketengahkan agenda yang lebih baik untuk negara kita," katanya semasa ucapan perasmian Festival Wanita Muda di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Beliau pada masa sama mahu pergerakan itu menyediakan wanita muda di negara ini dalam menghadapi cabaran masa hadapan.
"Saya hendak Puteri UMNO menyediakan generasi wanita muda hari ini untuk menghadapi segala cabaran masa akan datang, di mana kita melangkaui soal politik kerana kita lebih idealistik daripada soal hendak mendapatkan undi mereka sahaja.
"Tugasan kedua kita adalah menyediakan wanita muda menghadapi segala cabaran akan datang dengan kita memberi segala kekuatan kepada mereka, sama ada ilmu, kerohanian, kemahiran insaniah, kepimpinan, jaringan dan segala-galanya untuk mereka menghadapi cabaran hari ini dan akan datang," tegasnya.
Justeru, beliau percaya, amanat yang digalas Puteri UMNO mampu dilaksanakan sekaligus mampu melahirkan golongan wanita muda yang lebih mampan dalam menghadapi cabaran masa akan datang.
Hadir sama pada majlis itu adalah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil dan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim.
Festival Wanita Muda menyajikan pelbagai aktiviti menarik dan bermanfaat seperti forum dan perbincangan berkonsepkan 'town hall' merentas pelbagai topik termasuk pendidikan, kerjaya termasuk hal-hal berkaitan wanita dan kanak-kanak.
#Datuk Seri Najib Tun Razak #Festival Wanita Muda 2016 #Perdana Menteri #Pergerakan Puteri UMNO Malaysia