Puteri UMNO mahu jalan Datuk Sudirman di ibukota
Astro Awani
September 2, 2014 17:36 MYT
September 2, 2014 17:36 MYT
Kewujudan Jalan Sudirman di Kuala Lumpur dilihat simbol Kerajaan mengenang jasa penyanyi legenda, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad kepada negara.
Ketuanya, Mas Ermieyati Samsuddin berkata, ia menjamin nama dan lagu-lagu tinggalan Sudirman tidak dilupakan sehingga bila-bila.
"Atas jasa-jasa beliau dalam dunia hiburan di samping turut memainkan peranan menyatukan masyarakat pelbagai kaum menerusi lagu-lagunya, kita mencadangkan agar nama Sudirman diabadikan pada salah satu jalan di sekitar Chow Kit.
"Kita harap dengan diabadikan nama beliau pada salah satu jalan di Kuala Lumpur, Sudirman akan dikenang oleh generasi masa kini dan akan datang sebagai penghibur yang banyak jasanya kepada negara," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.
Sudirman memulakan kariernya sebagai seorang penyanyi apabila dinobatkan sebagai Juara Bintang RTM 1976 pada 11 Ogos 1976.
Bintang itu juga adalah satu-satunya pemegang gelaran 'Penghibur Nombor 1 Asia' selain memegang 'Penghibur Milik Masyarakat', 'Seniman Rakyat' dan 'Elvis Malaysia.
Anak kelahiran Temerloh, Pahang itu juga terkenal dengan menjadi penghibur pertama yang memakai bendera Malaysia pada songkok dan pakaian ketika membuat persembahan.
Tambah Mas Ermieyati, penganjuran Memori Chow Kit Road 2.0 baru-baru ini menguatkan hasrat Puteri UMNO supaya Jalan Sudirman diwujudkan.
"Penggunaan tema Malaysia…Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta ternyata begitu tepat sehingga menjadi trending di media-media sosial dan siulan dalam kalangan anak muda, remaja hingga kanak-kanak.
"Lagu-lagu Sudirman juga menjadi siulan kepada anak-anak muda dan tidak akan pudar setiap kali musim perayaan dan hari kebesaran negara," jelasnya.
Sudirman merupakan penyanyi negara pertama mengadakan konsert percuma di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur pada April 1986.