Puteri UMNO cadang ilmu rumahtangga diajar di sekolah dan universiti

Astro Awani
Disember 4, 2013 13:36 MYT
Pergerakan Puteri UMNO mencadangkan agar ilmu rumahtangga diajar dengan menyeluruh di sekolah dan universiti untuk menyiapkan generasi muda melangkah masuk ke alam perkahwinan.
Ketuanya, Mas Ermiyati Samsudin berkata, kursus perkahwinan dua hari yang ditetapkan oleh pihak berkuasa sekarang tidak mampu memberikan input yang mencukupi mengenai alam rumahtangga kepada wanita muda.
"Kursus ini sebaiknya merangkumi segala aspek seperti ekonomi rumahtangga, penjagaan ibu bersalin, penjagaan anak, pemakanan dan lain-lain lagi," katanya semasa menyampaikan ucapan dasar perhimpunan sayap pergerakan itu di Pusat Dagangan Dunia Putra, hari ini.
Mas Ermiyati mengemukakan cadangan itu selepas memberikan gambaran umum yang membimbangkan tentang peningkatan kadar perceraian di kalangan pasangan Islam di negara ini iaitu purata tiga kes setiap jam atau 72 kes sehari.
Fakta yang membimbangkan itu direkodkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam tempoh antara 1990 hingga 2010.
"Saya percaya sekiranya wanita-wanita muda didedahkan dengan ilmu rumahtangga yang lengkap dan hands on, mereka akan lebih berjaya dalam kehidupan rumahtangga mereka," katanya.
Dalam pada itu, Mas Ermiyati mengungkap beberapa kejadian jenayah ragut, culik kanak-kanak dan keganasan ke atas wanita seraya menggesa kempen berterusan untuk menanam kesedaran di kalangan masyarakat mengenai aspek keselamatan wanita dan kanak-kanak.
"Amat perlu ditubuhkan sebuah badan pemikir untuk mengkaji semula Akta Perlindungan Kanak-kanak dan Wanita agar ia lebih inklusif dan bertindak menjanjikan hukuman setimpal kepada pesalah," katanya.
Menyentuh mengenai UMNO, Mas Ermiyati mencadangkan agar ahli Puteri UMNO diberikan keahlian automatik untuk menyertai Pergerakan Wanita UMNO dan bukan lagi pilihan salah satu daripada dua sayap itu.
Beliau juga mahu ahli-ahli Puteri UMNO memperbaiki persepsi kononnya sayap pergerakan itu hanya sekadar penyeri majlis sebaliknya berusaha menunjukkan kesungguhan kerja supaya diberikan lebih banyak ruang dan peluang.
Mengenai politik pula, Puteri UMNO bercadang menubuhkan Biro Sahabat Puteri bagi menarik sokongan orang muda "tanpa mengira jantina, tanpa mengira kaum, dari pelbagai latar belakang, dari kalangan NGO dan juga dari kalangan mahasiswa".
Mas Ermiyati percaya usaha mendekati orang muda itu akan dapat membantu Barisan Nasional memperbaiki prestasinya dalam pilihan raya umum ke-14 nanti.
Antara usaha mendekati golongan muda itu termasuk menjalankan kaji selidik secara dalam talian dan di lapangan bagi mengenal pasti isu-isu yang menjadi perhatian di kalangan orang muda.
#Mas Ermiyati #PAU 2013 #Perhimpunan Agung UMNO 2013 #Puteri UMNO
;