Puteri salur rawatan psikologi kepada ibu Allahyarham Muhamad Hafiz

Astro Awani
Julai 7, 2014 15:35 MYT
Puteri salur rawatan psikologi kepada ibu Allahyarham Muhamad Hafiz
Pergerakan Puteri UMNO akan mendapatkan rawatan psikologi kepada Siti Habibah Ismail, ibu remaja yang meninggal dunia akibat dipukul bapanya sendiri, Allahyarham Muhamad Hafiz Abd Ghani.
Ketuanya, Mas Ermieyati Samsudin berkata, rawatan itu akan meliputi sembilan lagi anak Siti Habibah yang dikatakan kini trauma akibat kejadian tersebut.
"Keluarga ini bukan sahaja hadapi tekanan kerana kejadian ini malah mereka semua trauma akibat hidup dengan seorang ketua keluarga yang tidak bertanggungjawab hingga menyebabkan kematian anak sulung keluarga ini.
"Selain itu, kita juga akan memberikan bantuan kewangan awal sebanyak RM1,000 kepada keluarga ini," katanya.
Dalam kejadian 5 petang Sabtu lepas, Muhamad Hafiz dilaporkan bertengkar dengan bapanya Abdul Ghani Sapuan kerana menyatakan hasrat ingin bekerja membantu keluarga, di rumah mereka di Kampung Jawa, Alor Gajah sebelum dipukul sehingga pengsan oleh bapanya.
Mas Ermieyati berkata pergerakan itu juga akan membantu dalam usaha mendaftarkan sembilan anak keluarga itu kepada Jabatan Pendaftaran Negara bagi mendapatkan dokumentasi dan sijil pengenalan yang sah.
"Anak-anak ini tiada pengenalan diri yang menyukarkan mereka untuk bersekolah dan urusan lain pada masa hadapan, kita akan pastikan perkara ini diselesaikan supaya anak-anak ini dapat belajar di sekolah nanti," kata Mas Ermieyati.
Sementara itu, Pengarah Pusat Perkhidmatan Barisan Nasional (Pembela BN) Melaka, Amir Hamzah Aziz berkata, pihaknya akan membantu Siti Habibah mendapatkan pekerjaan seandainya mereka sekeluarga mengambil keputusan untuk terus menetap di negeri itu.
Katanya, pihaknya juga akan cuba mendapatkan rumah bantuan kerajaan dengan sewa yang paling minimum.
"Pembela BN juga akan menguruskan segala belanja pengurusan jenazah Allahyarham (Muhamad Hafiz) dan kita akan pastikan nasib anak-anak lain terbela," katanya.
Dalam pada itu, Exco Wanita, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Kebajikan Melaka Datuk Latipah Omar berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka akan memastikan nasib keluarga itu akan terjaga.
"Sekiranya keluarga ini mengambil keputusan untuk tinggal di Klang, Selangor JKM Melaka akan bekerjasama dengan JKM Selangor bagi memastikan keluarga ini mendapat pembelaan sewajarnya," katanya.
Allahyarham Muhamad Hafiz mengalami kecederaan dalaman akibat dipukul dengan objek keras, sebelum disahkan meninggal dunia oleh anggota paramedik.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan bunuh.
#psikologi #Puteri #trauma #UMNO
;