Putera sulung Tunku Mahkota Johor, Tunku Iskandar dilantik Raja Muda Johor

Raja Hisyam Raja Zaid
November 22, 2018 22:50 MYT
Pemasyhuran itu diumumkan Tuanku Sultan Ibrahim pada majlis Istiadat sempena Hari Keputeraan Baginda yang ke-60 di Istana Besar, Johor Bahru pada Khamis. - Foto @officialsultanibrahim
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan melantik cucunda Baginda, Tunku Iskandar Abdul Jalil Abu Bakar Ibrahim Ibni Tunku Ismail sebagai Raja Muda Johor.
Pemasyhuran itu diumumkan Tuanku Sultan Ibrahim pada majlis Istiadat sempena Hari Keputeraan Baginda yang ke-60 di Istana Besar, Johor Bahru pada Khamis.
“Sebagaimana hak dan kuasa yang termaktub di dalam Fasal 23 Bahagian Pertama dan Fasal 7(2E) Bahagian Kedua, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor, maka saya sebagai Raja dengan persekutuan Jumaah Majlis DiRaja, telah berkenan untuk melantik, menjadikan dan menggelar Tunku Iskandar Ibni Tunku Ismail sebagai Raja Muda Johor.
“Oleh itu, mulai dari saat ini, Tunku Iskandar Ibni Tunku Ismail adalah merupakan waris kedua kepada takhta pemerintahan kerajaan Johor, iaitu orang yang menyusul kemudian daripada waris,” titah Sultan Ibrahim menerusi akaun Instagram Baginda pada Khamis.
Berangkat sama, Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah.
Sempena sambutan ulang tahun keputeraan Baginda, Tuanku Sultan Ibrahim turut berkenaan mengurniakan Darjah Kebesaran dan Pingat kepada 62 individu.
#Johor Bahru #kerajaan #keselamatan #menteri #Menteri Besar #Osman Sapian #Sultan Ibrahim #Sultan Johor #TMJ #Tunku Ismail #undang-undang