Putera Mahkota Jepun tiba untuk lawatan rasmi lima hari

Bernama
April 13, 2017 21:07 MYT
Putera Mahkota Jepun, Putera Mahkota Naruhito bersama Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (kiri) dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim di KLIA hari ini. - Foto Bernama
Malaysia hari ini membentangkan permaidani merah bagi menyambut ketibaan Putera Mahkota Jepun, Putera Mahkota Naruhito, bagi mengadakan lawatan rasmi lima hari.
Pesawat khas penerbangan JAF0001 yang membawa Putera Naruhito mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada 5.35 petang.
Ketibaan baginda di Kompleks Bunga Raya KLIA disambut oleh Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim yang juga Menteri Pengiring.
Ini merupakan lawatan pertama Putera Mahkota Naruhito ke Malaysia sejak dimasyhurkan sebagai Putera Mahkota Jepun pada 1991.
Kali terakhir Putera Mahkota Jepun melawat Malaysia ialah pada 1970 yang dilakukan oleh Maharaja Akhito dan Maharani Michiko, yang ketika itu merupakan Putera dan Puteri Mahkota Jepun. -- Bernama
#lawatan rasmi #Putera Mahkota Jepun #Putera Mahkota Naruhito
;