Putera Mahkota Jepun harap hubungan terus diperkukuh melalui pendidikan
Israr Khalid
April 14, 2017 20:10 MYT
April 14, 2017 20:10 MYT
Putera Mahkota Jepun, Naruhito berharap persahabatan Jepun-Malaysia dapat terus dipererat dengan merancakkan kerjasama dalam bidang akademik antara dua negara.
Baginda bertitah, ia bukan sekadar dapat memperkukuh hubungan bilateral tetapi juga usaha sama serantau dan seterusnya membawa kemakmuran dan keamanan sejagat.
"Ia menjadi harapan tinggi kami supaya pertukaran sarjana dapat digalakkan, penyelidik dan pelajar akan mencerdaskan kembali kemajuan akademik.
"Rakyat kita dalam dunia akademik dan industri, sektor awam dan swasta, muda dan tua, lelaki dan wanita, semuanya akan memperdalam dan memperkaya persahabatan dan kerjasama untuk 60 tahun akan datang dan seterusnya," titah baginda dalam ucaptama ketika lawatannya di Universiti Malaya (UM) di sini hari ini.
Naruhito menambah, tidak cukup untuk memperkatakan tentang eratnya hubungan antara dua negara tanpa menyebut Dasar Pandang Ke Timur yang dilancarkan pada 1982, yang mewujudkan Ambang Asuhan Jepun di UM sebagai program persediaan khas pelajar sebelum memasuki universiti di negara matahari terbit itu.
Melalui dasar itu, 4,000 pelajar UM telah melanjutkan pelajaran ke Jepun, dan sejumlah 16,000 anak muda dari seluruh Malaysia dihantar ke Jepun sebagai pelajar dan juga pelatih.
Pertukaran itu telah membawa banyak manfaat kepada kedua-dua negara, dan memainkan peranan penting terhadap pembangunan Malaysia dalam pelbagai bidang.
Titah baginda, banyak lagi perkara yang boleh saling dipelajari, terutamanya dalam isu air dan menangani bencana dengan menyebut Terowong SMART sebagai satu fasiliti unik di dunia yang memiliki dwifungsi iaitu menyelesaikan masalah kesesakan trafik pada masa sama penyaliran air banjir.
Lawatan baginda ke universiti tersebut turut diiringi Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang juga Canselor UM.
Dalam lawatan itu, Naruhito turut menanam pokok Gelam Tikus sebagai simbolik persahabatan Jepun dengan Malaysia.