Putera Mahkota Brunei berangkat ke Pameran Raja Kita

Bernama
Ogos 19, 2024 14:50 MYT
Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah (empat, kiri) diiringi isteri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah bergambar selepas mengunjungi Pameran Raja Kita di Muzium Negara hari ini. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Putera Mahkota Brunei Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Sultan Hassanal Bolkiah hari ini berkenan berangkat ke Pameran Raja Kita di Muzium Negara di sini, pada hari ketiga lawatan rasmi ke Malaysia.
Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah yang juga Menteri Kanan di Pejabat Perdana Menteri Brunei, diiringi isteri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah semasa lawatan ke pameran khas itu yang dianjurkan bersempena dengan Istiadat Pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 20 Julai lepas.
Putera Mahkota Brunei turut diberikan penerangan oleh Ketua Pengarah Jabatan Muzium Negara Datuk Kamarul Baharin A. Kasim ketika melihat pameran beberapa koleksi dan item berkaitan Institusi Yang di-Pertuan Agong.
Sesi penerangan ketika lawatan Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah di bahagian koleksi peribadi Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah dalam Pameran Raja Kita, dilaksanakan oleh Kurator Muzium Diraja Abu Bakar Mohd Azlan Hafiz Mohti.
Pameran Raja Kita di Galeri 1 dan 2 mempamerkan lebih 272 koleksi dan item berkaitan Institusi Yang di-Pertuan Agong serta koleksi peribadi Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah.
Pameran khas yang bermula 26 Julai hingga 29 Sept itu antara lain mempamerkan koleksi regalia Persekutuan, koleksi peribadi Seri Paduka Baginda berdua, koleksi pinjaman dari Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dan Muzium Diraja Abu Bakar Johor.
Lawatan Putera Mahkota Brunei menambah lagi makna kepada hubungan istimewa dan mesra antara Malaysia dan Brunei yang bertunjangkan kesamaan warisan, budaya dan hubungan antara rakyat, terutamanya ketika kedua-dua negara menyambut ulang tahun ke-40 penubuhan hubungan diplomatik tahun ini.
Brunei merupakan rakan dagangan keenam terbesar Malaysia dalam kalangan negara anggota ASEAN pada 2023, dengan jumlah dagangan sebanyak US$2.04 bilion (RM9.31 bilion).
-- BERNAMA
#Putera Mahkota Brunei #Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah #Pameran Raja Kita #Malaysia