Puspakom anjur kempen Pemeriksaan Kenderaan Secara Sukarela percuma sempena Aidilfitri

Bernama
Mei 1, 2021 07:00 MYT
Pemilik boleh membawa kenderaan mereka ke mana-mana cawangan Puspakom kecuali Shah Alam dan Pasir Gudang. - Astro AWANI
SHAH ALAM: Puspakom Sdn Bhd akan menganjurkan kempen Pemeriksaan Kenderaan Secara Sukarela (VVI) percuma untuk kenderaan persendirian sempena Aidilfitri di seluruh negara mulai 2 hingga 12 Mei 2021 dari 8 pagi hingga 5 petang.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Shukor Ismail berkata pemilik boleh membawa kenderaan mereka ke mana-mana cawangan Puspakom kecuali Shah Alam dan Pasir Gudang.
"Walaupun musim perayaan ini kita tidak dibenarkan merentas negeri untuk pulang ke kampung namun keselamatan kenderaan masih perlu dititikberatkan kerana kenderaan masih lagi digunakan untuk bergerak melakukan aktiviti harian seperti pergi bekerja dan membeli barang keperluan," menurutnya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata bagi memastikan pelanggan yang hadir mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan serta mengelak daripada kesesakan di cawangan Puspakom, mereka yang ingin menjalani pemeriksaan percuma itu dikehendaki membuat janji temu secara dalam talian terlebih dahulu di www.mypuspakom.com.my.
Fi pemprosesan MyPUSPAKOM yang dikutip sewaktu tempahan akan dipulangkan setelah pemeriksaan selesai.
"Terdapat 25 item yang akan diperiksa iaitu ujian brek, gelincir sisi, tayar, suspensi, asap, lampu, cermin gelap, bahagian atas dan bawah kenderaan serta banyak lagi," katanya.
Selain di cawangan, Unit Pemeriksaan Bergerak Puspakom akan berada di dua lokasi bagi menawarkan pemeriksaan percuma tersebut iaitu di Wisma DRB-HICOM, Shah Alam pada 3 Mei dan Pekarangan Stadium Cheras, Kuala Lumpur pada 8 Mei 2021 dengan kerjasama Persatuan Pengguna Jalan Raya Kebangsaan (PPJK).
Unit Pemeriksaan Bergerak ini akan beroperasi dari 9 pagi hingga 4 petang pada tarikh tersebut.
-- BERNAMA
#Puspakom #kempen Pemeriksaan Kenderaan Secara Sukarela #VVI #Kenderaan persendirian #Aidilfitri
;