Pusingan Kerja Petugas Kaunter semua kementerian bermula hari ini

Astro Awani
Februari 4, 2025 10:15 MYT
Kerajaan memulakan inisiatif 'Pusingan Kerja Petugas Kaunter' melibatkan semua kementerian serta jabatan di bawah kementerian masing-masing bermula hari ini. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan memulakan inisiatif 'Pusingan Kerja Petugas Kaunter' melibatkan semua kementerian serta jabatan di bawah kementerian masing-masing bermula hari ini.
Menurut Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, inisiatif itu sebagai usaha memperkukuh kualiti perkhidmatan awam dan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan di kaunter.
"Inisiatif ini bertujuan untuk meningkatkan kemahiran petugas kaunter, memastikan kepelbagaian kemahiran kerja, serta memperkasakan pengalaman pelanggan dengan perkhidmatan yang lebih cekap dan mesra.
"Petugas kaunter akan diberikan pendedahan kepada pelbagai aspek tugas di kaunter bagi membolehkan mereka mengendalikan pelbagai pertanyaan dan urusan pelanggan dengan lebih efisien.
"Langkah ini adalah selaras dengan matlamat reformasi perkhidmatan awam untuk mewujudkan sistem kerja yang lebih dinamik serta responsif kepada keperluan rakyat," katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.
Mengulas lanjut, Wan Ahmad Dahlan berkata, pelaksanaan pusingan kerja ini turut melibatkan kementerian utama seperti Kementerian Kewangan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan dan Kementerian
Sumber Manusia di samping beberapa kementerian lain yang terlibat secara langsung dalam penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
Katanya, petugas kaunter akan menjalani latihan berkala serta pemantauan berterusan untuk memastikan mutu perkhidmatan sentiasa berada pada tahap terbaik.
"Kerajaan yakin pelaksanaan Pusingan Kerja Petugas Kaunter ini mampu memperkukuh sistem perkhidmatan awam serta menyediakan pengalaman perkhidmatan yang lebih berkualiti kepada rakyat," ujarnya.
#pusingan kerja #petugas kaunter #perkhidmatan awam #Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz
;