'Pusher' dadah ditahan bersama beg galas berisi heroin, syabu

Adie Sufian Zulkefli
Ogos 26, 2019 02:00 MYT
Suspek ditemui bersama satu beg galas berwarna biru yang mengandungi 12 paket plastik lutsinar pelbagai saiz berisi serbuk dan ketulan dadah. - Foto PDRM
Seorang lelaki dipercayai 'pusher' dadah ditahan polis Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang malam tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Pendang, Dep Supt Arriz Sham Hamezah, suspek ditahan kira-kira jam 9 malam sewaktu sedang menunggu pelanggan di tepi jalan di Kampung Carol Celu, Kubur Panjang.
Katanya, sebaik pihak polis menghampiri, suspek cuba melarikan diri namun berjaya ditahan.
Pemeriksaan yang dilakukan ke atas suspek menemui satu beg galas berwarna biru di tangannya yang mengandungi 12 paket plastik lutsinar pelbagai saiz berisi serbuk dan ketulan dadah, disyaki heroin.
Arriz memaklumkan, jumlah heroin dianggar seberat 64.39 gram manakala paket plastik disyaki mengandungi dadah jenis syabu ialah seberat 1.25 gram.
Turut dijumpai didalam beg tersebut, lapan paket plastik lutsinar kosong dan sebilah gunting.
Suspek berusia 28 tahun itu kemudiannya dibawa balik ke IPD Pendang untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.
#Arriz Sham Hamezah #beg galas #Dadah #Pendang #plastik lutsinar #polis #pusher #suspek