Pusat tahfiz perlu ditadbir urus dengan baik, profesional - Tengku Hassanal

Bernama
Februari 10, 2022 15:14 MYT
Tengku Hassanal bertitah, aspek keselamatan perlu dititikberatkan supaya kemalangan tidak diingini dapat dielak selain sesi pembelajaran dapat berjalan lancar. - Bernama
KUANTAN: Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah supaya pusat tahfiz di Pahang ditadbir urus dengan baik dan profesional agar kebajikan pelajar sentiasa terjaga.
Baginda bertitah aspek keselamatan perlu sentiasa dititikberatkan supaya kemalangan tidak diingini dapat dielakkan selain sesi pembelajaran dapat berjalan dengan lancar.
Pahang ketika ini mempunyai lebih 100 pusat tahfiz persendirian dan swasta yang telah dibangunkan.
"Saya tidak mahu berbangga dengan bilangan pusat tahfiz yang banyak, tapi pengurusannya lemah, asramanya usang, atapnya bocor, kebajikan pelajar tidak terjaga. Justeru pembukaan pusat tahfiz baharu mestilah disemak dengan teliti. Pusat tahfiz yang sedia ada juga perlu sentiasa diperiksa demi kebaikan semua pihak," titah Tengku Hassanal.
Baginda bertitah demikian pada Majlis Pengurniaan Anugerah Kecemerlangan dan Khatam Hafazan Al-Quran Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) 2021 di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Pada majlis itu, Tengku Hassanal berkenan mengurniakan sijil kecemerlangan kepada 57 pelajar MTNP atas pencapaian masing-masing.
-- BERNAMA
#pusat tahfiz #aspek keselamatan #kebajikan pelajar #Tengku Hassanal
;