Pusat skuba harap nasihat perjalanan ditarik balik

Shafizan Johari
Mac 19, 2013 07:15 MYT
Tino Hermann, Pengarah Scuba Junkie
Pusat skuba terbesar Malaysia, Scuba Junkie berharap kerajaan dapat memberikan penjelasan kepada pejabat kedutaan asing di Kuala Lumpur mengenai keadaan semasa di Sabah dan meyakinkan mereka untuk menarik balik nasihat perjalanan.
Pengarahnya, Tino Hermann berkata, lokasi yang sering menjadi tumpuan pelancong tidak menerima kesan besar akibat insiden pencerobohan pengganas dari selatan Filipina walaupun kebanyakan operasinya terletak di daerah ini.
“Pada masa ini kebanyakan laman web kedutaan asing menyatakan Sabah adalah bahaya untuk dilawati terutamanya Lahad Datu, Sandakan dan Semporna. Jadi saya berharap kerajaan Malaysia dapat menyakinkan kedutaan asing bahawa Pantai Timur Sabah kini selamat," katanya dalam satu temubual di sini.
Tino menjelaskan pada hari-hari awal pertempuran meletus, perniagaannya susut sehingga lebih 20 peratus, namun keadaan pulih seperti sedia kala selepas tiga hari.
“Pada awalnya, ada pelancong yang berasa takut setelah serangan pihak keselamatan negara. Namun setelah pihak kerajaan memberikan jaminan keselamatan, kami memaklumkannya kepada pelanggan kami,” katanya.
Beliau juga percaya kerajaan sudah melakukan segala yang perlu bagi mempromosikan Sabah dan memberikan semula keyakinan kepada pelancong untuk melawat Sabah, terutamanya kawasan Pantai Timur negeri ini.
Scuba Junkie yang memulakan perniagaannya sembilan tahun lalu, beribu pejabat di Semporna. Ia terletak kira-kira dua kilometer dari Kampung Simunul, lokasi beberapa anggota polis dibunuh oleh pengganas Sulu.
Namun semua aktiviti selaman tidak dilakukan di perairan dekat Semporna tetapi jauh ke luar pantai seperti Pulau Sipadan, Pulau Mabul dan Taman Laut Tun Sakaran.
Setiap hari, Scuba Junkie berjaya menarik antara 70 hingga 150 pelancong antarabangsa ke Semporna.
#Lahad Datu #operasi daulat #Ops Daulat #Sabah #Semporna #Sulu
;