Pusat servis tayar, kereta serta 13 motosikal musnah dalam kebakaran
Adie Sufian Zulkefli
Mac 6, 2025 10:40 MYT
Mac 6, 2025 10:40 MYT
Kebakaran itu turut menyebabkan dua buah forklift terbakar 50 peratus dan dua buah kontena yang berada di tepi bangunan kedai terbakar 90 peratus. - Foto JBPM
SIK: Sebuah pusat servis tayar dan kereta di simpang tiga Pekan Jeniang di sini musnah dalam kebakaran, awal pagi tadi.
Dalam kejadian 3 pagi itu, kebakaran turut membabitkan 13 buah motosikal di kedai servis motosikal di situ.
Komander Operasi Kanan Zon 2, Penguasa Kanan Bomba II Johari Bar Azwar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada jam 3.18 pagi.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Sam Khan a/l Prak Prom Keu tiba di lokasi tidak lama kemudian dan turut dibantu BBP Guar Chempedak.
"Keseluruhan anggota bomba membabitkan seramai 18 orang selain Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Bukit Selambau dan Jeniang seramai 12 orang.
"Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kedah menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 memaklumkan terdapat kebakaran membabitkan sebuah kedai tayar dua tingkat dan mengarahkan BBP Sik serta BBP Guar Chempedak ke lokasi kebakaran.
"Anggaran kemusnahan adalah 95 peratus daripada keseluruhan bangunan kedai manakala sebuah kedai servis motosikal satu tingkat turut terbakar 30 peratus yang mengakibatkan 13 buah motosikal pelbagai jenis terbakar 85 peratus," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Johari berkata, kebakaran itu turut menyebabkan dua buah forklift terbakar 50 peratus dan dua buah kontena yang berada di tepi bangunan kedai terbakar 90 peratus.
Beliau berkata, tiada mangsa dilaporkan berada dalam premis itu dan api berjaya dikawal sepenuhnya jam 3.49 pagi.
"Kerja-kerja overhaul turut dilakukan dan operasi tamat pada jam 6 pagi," katanya.
Johari berkata, setakat ini punca dan kerugian masih dalam siasatan.