Pusat saringan COVID-19 pandu lalu UNIMAS mudah dan pantas

Astro Awani
April 22, 2020 18:16 MYT
Proses pengambilan sampel secara pandu lalu di Kampus Bandar, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UNIMAS - Foto Astro AWANI
Perkarangan Kampus Bandar, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) ditransformasi menjadi pusat saringan pandu lalu pengambilan sampel COVID-19.
Beroperasi setiap hari bermula 8 pagi sehingga 4 petang ia berupaya untuk memproses lebih 500 sampel sehari.
Orang awam yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit COVID-19 akan dihubungi oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk ke pusat saringan berkenaan. Di sana mereka akan memandu melalui kaunter ujian sapu yang disediakan di hadapan kampus.
Menurut Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UNIMAS, Profesor Dr Asri Saidi, ujian sapu akan dilaksanakan oleh petugas kesihatan dari luar kenderaan mereka.
"Proses saringan ini adalah secara contact passing, yang dilakukan oleh Inspektor Kesihatan KKM.
"Mereka akan berhubung dengan kontak rapat pesakit COVID-19 sebelum arahan dikeluarkan kepada mereka untuk pergi ke pusat saringan tersebut unuk diambil sampel," katanya kepada Astro AWANI hari ini.
Jelasnya, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) akan menempatkan 80 petugas kesihatan untuk tingkatkan kapasiti pemprosesan sampel COVID-19 di pusat tersebut.
"Minggu ini kita ada lebih daripada 3,000 sampel telah diproses dimana kita memproses sekitar 180 sehingga 240 sampel untuk ujian Polymerase Chain Reaction (PCR)," katanya.
Sampel akan dihantar di dua makmal perubatan iaitu di Hospital Umum Sarawak (HUS) dan di UNIMAS Kampus Samarahan untuk pengesahan.
Menurutnya lagi, sejak fasiliti ini beroperasi secara rasmi pada Selasa, lebih 20 individu telah datang untuk menyerahkan sampel dalam tempoh sehari, dan ia dijangka meningkat untuk tempoh yang akan datang.
Tambah Asri, operasi pemprosesan yang dipantau oleh pihak KKM ini mendapat sokongan dan kerjasama erat Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti (IKPK) dan Institusi Penyelidikan Sistem Kesihatan (IPSK) UNIMAS.
#Astro Awani #COVID-19 #Hospital #HUS #Kementerian Kesihatan #kereta #kesihatan #KKM #koronavirus #Kuching #Malaysia #operasi #pandu lalu #perubatan #Sains #Sarawak #saringan #Unimas
;