Pusat Sains Negara ditutup sementara, namun Program STI terus diperhebat
Bernama
Februari 27, 2025 05:50 MYT
Februari 27, 2025 05:50 MYT
Antara program yang akan dianjurkan PSN ialah Karnival Minggu Sains Negara 2025, iaitu program karnival tahunan bertaraf nasional dalam usaha memperkasakan budaya STI di Malaysia. - Foto Pusat Sains Negara
KUALA LUMPUR: Pusat Sains Negara Kuala Lumpur (PSNKL) di sini akan ditutup sementara kepada orang awam bermula pada 1 Mac hingga 30 Sept bagi memberi laluan kepada kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan struktur bumbung.
Pengarah Pusat Sains Negara Mohammad Fuad Rahman berkata kerja-kerja pembaikan bumbung PSN itu akan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pengunjung pada masa akan datang.
"Meskipun PSNKL ditutup buat sementara waktu, inisiatif pembudayaan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) akan terus diperhebat melalui pelbagai program berskala nasional yang bakal menjelajah ke seluruh negara sepanjang tahun ini," katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Beliau berkata antara program yang akan dianjurkan oleh pusat berkenaan yang merupakan agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi ialah Karnival Minggu Sains Negara 2025, iaitu program karnival tahunan bertaraf nasional dalam usaha memperkasakan budaya STI di Malaysia.
Mohammad berkata PSN akan menganjurkan Kembara Sains Ulul Albab 2025, satu inisiatif pembelajaran sains dan al-Quran secara interaktif melalui pendekatan pengembaraan.
Katanya, turut diadakan pertandingan Robot Tempur Malaysia yang memaparkan inovasi reka cipta dan pertempuran jentera robot sebagai platform pembangunan bakat pelajar dalam bidang robotik dan teknologi automasi.
"Selain itu, program lain termasuk pertandingan RC Jet Kebangsaan, iaitu pertandingan inovasi bagi menyemarakkan dan membudayakan STI melibatkan golongan pelajar khususnya dalam bidang mereka bentuk pesawat udara.
"School's Out, Kids In (SOKI), program pembudayaan STI bersempena dengan cuti persekolahan yang bertujuan memberi nilai tambah pengisian STI kepada pengunjung, serta PSN Trooperz On The Move yang merupakan inisiatif mendekati komuniti melalui aktiviti sains interaktif ke pelbagai lokasi di seluruh negara, turut diadakan," katanya.
Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi 03-20893400 serta melayari platform media sosial rasmi Pusat Sains Negara untuk mendapatkan perkembangan terkini.
-- BERNAMA