Pusat Respons Scam Kebangsaan terima 122,603 panggilan aduan sehingga Ogos 2024 - MOF

Bernama
Oktober 29, 2024 09:15 MYT
BNM menguatkuasakan mekanisme "kill switch" bagi membolehkan pengguna yang menjadi mangsa scam mengambil tindakan segera membekukan akaun mereka sendiri sekiranya terdapat aktiviti mencurigakan.
KUALA LUMPUR: Sejak Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) beroperasi mulai 12 Okt, 2022 sehingga Ogos 2024, sebanyak 122,603 panggilan diterima merangkumi aduan berkaitan kes penipuan dan khidmat nasihat kepada orang ramai, menurut Kementerian Kewangan (MOF).
Kementerian itu menjelaskan berdasarkan aduan yang diterima itu, jumlah kerugian yang dialami mangsa adalah sebanyak RM371 juta.
"BNM (Bank Negara Malaysia) telah menetapkan keperluan untuk bank memastikan kawalan dan standard keselamatan aktiviti perbankan atas talian sentiasa diperkukuh selaras dengan amalan industri terbaik.
"Langkah ini telah pun menunjukkan impak positif. Pelaksanaan langkah tambahan keselamatan yang dibuat oleh institusi kewangan semenjak September 2022 telah berjaya membantu institusi kewangan menyekat transaksi yang tidak sah dan mencurigakan bernilai RM383 juta bagi tahun 2023," tambahnya.
Trend kes penipuan secara phishing (pancing data) dan malware (perisian hasad) yang dilaporkan kepada NSRC juga telah menunjukkan trend penurunan, menurut MOF.
MOF menjelaskan sedemikian bagi menjawab pertanyaan Chong Chieng Jen (PH-Stampin) menerusi jawapan bertulis bertarikh 28 Oktober yang disiar menerusi laman sesawang Parlimen hari ini.
Beliau bertanya mengenai statistik terperinci berkenaan kerugian yang dialami oleh pemegang akaun bank akibat daripada bank scam pada 2021, 2022, 2023 dan 2024 selain ingin mengetahui sama ada langkah baharu seperti penggantian OTP dan "kill switch" berkesan untuk mengurangkan kerugian itu.
MOF menjelaskan usaha berterusan BNM untuk mengukuhkan lagi keselamatan perkhidmatan perbankan internet dan mudah alih akan berterusan, antaranya langkah menambah baik dasar "Electronic Know Your Customer" (e-KYC) bagi mengukuhkan pengesahan identiti untuk membanteras jenayah akaun keldai.
BNM turut menguatkuasakan mekanisme "kill switch" bagi membolehkan pengguna mengambil tindakan segera untuk membekukan akaun mereka sendiri sekiranya terdapat aktiviti yang mencurigakan, menurut kementerian itu.
"BNM dan industri kewangan juga telah membangunkan Portal Anti Penipuan Kebangsaan (NFP) yang akan diguna pakai oleh peserta industri secara berperingkat bagi memperkukuh keupayaan pengesanan dana oleh NSRC.
"Melalui NFP, proses penjejakan dana telah diautomasi bagi mempercepat tempoh pengesanan dan pembekuan dana yang ditipu," tambah MOF.
Selain itu, NFP juga akan meningkatkan tahap kecekapan perkongsian data dalam industri melalui penggunaan data dan maklumat yang lebih kaya dan meluas.
-- BERNAMA
#aduan #scam #Bank Negara Malaysia #kill switch
;