Pusat Rehabilitasi Perkeso Meru Raya bakal jadi kompleks kesihatan terbesar di Asia Tenggara

Amirrul Rabbani
Jun 11, 2022 13:56 MYT
Saarani bersama Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan menyiram pokok cempaka hutan sebagai gimik perasmian Majlis Pecah Tanah Pusat Rehabilitasi Perkeso Kebangsaan di Tapak Projek tersebut di Bandar Meru hari ini.- Foto BERNAMA
IPOH: Pusat Rehabilitasi Neuro-Robotik dan Cybernics Kebangsaan di Meru Raya di sini bakal menjadi kompleks kesihatan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang terbesar bukan sahaja di negara ini malah di rantau Asia Tenggara.
Menerusi kerjasama antara Perkeso dan Cyberdyne Inc, Jepun, lebih banyak teknologi robotik terkini dari negara matahari terbit itu dijangka akan dibawa masuk ke pusat rehabilitasi berkenaan.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata projek yang bakal siap secara berperingkat pada penghujung tahun 2024 itu memakan kos sebanyak RM654 juta.
Jelas beliau, peningkatan kos barangan keperluan asas untuk pembinaan menjadi punca kepada peningkatan kos projek yang pada awalnya dianggarkan hanya bernilai RM500 juta.
"Projek ini akan disiapkan pada hujung 2024 fasa pertama. Walaupun ada perancangan untuk fasa kedua tetapi, fasa pertama yang meliputi kos sebanyak RM645 juta akan disiapkan pada bulan hujung 2024.
"Jumlah kos, walaupun di peringkat awal kos lebih kurang RM500,000, kita lihat dalam peningkatan barang-barang keperluan asas seperti simen dan besi, kini kita lihat kos keseluruhan RM654 juta," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media bersempena Majlis Pecah Tanah Kompleks Pusat Rehabilitasi Neuro-Robotik dan Cybernics Kebangsaan Perkeso di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Kementerian Sumber Manusia, Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar; Pengerusi Lembaga Perkeso, Profesor Tan Sri Dr Mohamed Haniffa Abdullah dan Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.
Selain itu, Saravanan memberitahu projek di atas tanah berkeluasan 37.52 hektar itu akan sentiasa dipantau kerajaan negeri melalui Menteri Besar dan Sultan Perak.
Menurutnya Kompleks Kesihatan Perkeso bertaraf antarabangsa itu bakal memuatkan sehingga 700 pesakit selain 70 peratus akan dikhususkan kepada pencarum sementara selebihnya dibuka kepada awam.
Antara kemudahan dan perkhidmatan lain yang akan disediakan termasuklah ‘neurorobotic rehabilitation’, ‘advanced virtual rehabilitation’, ‘intelligent neuro-robotic gym and cybernics research centre’, physical rehabilitation’ dan sebagainya.
Dalam pada itu Saarani berkata kerajaan negeri menyambut baik projek berkenaan selain menjelaskan ia bakal menyediakan menyediakan 400 peluang pekerjaan baharu selepas kompleks kesihatan itu bersedia untuk beroperasi.
"Ada sekurang-kurangnya 400 jawatan tetap pekerjaan tetap untuk menguruskan pusat ini. Yang kedua dia akan menggamit health tourism, pelancongan kesihatan dan lagi ramai orang dapat datang ke Ipoh.
"Sudah tentu dia akan memberi peluang untuk menambah pendapatan rakyat yang terlibat. Penjaja-penjaja, peniaga kecil, hotel, homestay. Ini semua akan membantu untuk mensejahterakan rakyat negeri Perak," katanya.
Pada masa sama Saarani berkata kerajaan negeri telah memainkan peranan sebagai pemudah cara sehingga tapak projek berkenaan diluluskan dalam tempoh setahun.
Pusat Rehabilitasi Perkeso ini merupakan yang kedua di negara ini selepas Pusat Rehabilitasi Perkeso Tun Abdul Razak di Melaka bagi menampung keperluan orang berinsurans Perkeso mendapatkan perkhidmatan rehabilitasi khususnya mereka dari Zon Utara.
#Pusat Rehabilitasi #perkeso #Saarani Mohamad #Meru Raya
;