Pusat Rawatan TH dapat pengiktirafan Arab Saudi tiga tahun berturut-turut

Dr Azlinariah Abdullah
Mei 16, 2024 17:09 MYT
Kekuatan pasukan perubatan TH ketika waktu kemuncak nanti adalah seramai 53 orang, membabitkan enam doktor pakar, 16 jururawat dan selebihnya pembantu perubatan selain petugas musim haji yang dilantik TH. - Foto: Tabung Haji
MEKAH: Lembaga Tabung Haji (TH) terus mendapat pengiktirafan apabila diberi permit oleh Arab Saudi bagi mengendalikan Pusat Rawatan TH di di Madinah, iaitu pengiktirafan selama tiga tahun berturut-turut susulan pencapaian cemerlang dalam menyediakan khidmat rawatan kesihatan kepada para jemaah haji sebelum ini.
Sementara itu, untuk Pusat Rawatan di Mekah pula, TH masih menunggu keputusan yang sama daripada Kementerian Kesihatan Arab Saudi.
Ketua Rombongan Haji 1445h/2024, Datuk Seri Syed Salleh Syed Abdul Rahman berkata, Pusat Rawatan TH itu adalah pusat rawatan jemaah haji luar negara pertama di Arab Saudi yang mendapat kelulusan berkenaan oleh Kementerian Kesihatan Arab Saudi untuk pembukaan dan pengoperasian hospital bagi musim haji kali ini.
Katanya, kelulusan permit di Pusat Rawatan Madinah itu diberikan setelah melalui pemeriksaan ketat dan sangat teliti oleh Kementerian Kesihatan Arab Saudi.
"Ia juga satu pengiktirafan kepada kualiti dan standard fasiliti serta perkhidmatan kesihatan bagi jemaah haji Malaysia di tanah suci," katanya dalam satu sidang media kepada petugas media di Mekah.
Syed Salleh berkata, Pusat Rawatan Madinah yang bertempat di Hotel Roha sudah mula beroperasi pada awal bulan ini dengan dilengkapi kemudahan 33 katil termasuk wad pemerhatian kecemasan, wad lelaki dan wad wanita.
Selain itu pusat rawatan itu juga mempunyai fasiliti untuk perubatan kecemasan, unit X-ray dan unit ujian makmal asas dan perkhidmatan sokongan seperti fisioterapi dan pakar pemakanan.
Sebelum ini, Pengarah Operasi Madinah (Perubatan), Dr Mahyin Kudong maklumkan, Pusat Rawatan Madinah dikendalikan oleh lima doktor termasuk dua doktor pakar kecemasan, pakar kesihatan awam dan pakar bius.
Pakar bius itu juga bertanggungjawab untuk membuat pemantauan dan penyeliaan sekiranya ada jemaah haji yang terpaksa dirujuk ke hospital Arab Saudi.
Skop tugasan klinik itu meliputi khidmat seperti rawatan pesakit luar dan rawatan awal kecemasan, namun mana-mana kes kritikal akan segera dirujuk pada Pusat Rawatan Madinah atau Hospital Arab Saudi jika keadaan memerlukan.
Secara keseluruhan, kekuatan pasukan perubatan TH ketika waktu kemuncak nanti adalah seramai 53 orang, membabitkan doktor pakar seramai enam orang, 16 jururawat dan selebihnya pembantu perubatan selain petugas musim haji yang dilantik TH.
Dari segi operasi harian pula walaupun secara asasnya pusat rawatan itu akan beroperasi pada waktu pejabat, namun mereka akan sentiasa bersedia untuk berkhidmat menyantuni para jemaah haji 24 jam.
Dalam pada itu, Syed Salleh turut maklumkan, setakat ini, lima orang jemaah dirawat sebagai pesakit di Pusat Rawatan TH di mana empat daripadanya di Pusat Rawatan Madinah dan bakinya di Mekah.
"Daripada lima pesakit itu, masing-masing dua dirawat kerana kemalangan akibat terjatuh dan sakit jantung manakala seorang lagi kerana jangkitan kuman,"ujar beliau.
Bagaimanapun, tiada yang dirawat disebabkan cuaca panas yang dialami di tanah suci ketika ini dengan suhu boleh mencecah sehingga 45 darjah celcius.
Namun, jemaah haji terus dinasihat mengambil langkah berjaga-jaga dan tidak mendedahkan diri kepada keadaan cuaca panas memandangkan kebiasaannya, berdasarkan pengalaman lalu, terdapat beberapa penyakit yang sering dihadapi jemaah di Madinah akibat perubahan cuaca mendadak, suhu yang panas dan kering sehingga menjejas sistem pernafasan.
#Tabung Haji #jemaah haji #pusat rawatan th #Arab Saudi #Syed Salleh Syed Abdul Rahman
;