Pusat Pungutan Zakat MAIWP perjelas kekeliruan 'tak bantu mangsa banjir'

Astro Awani
Disember 21, 2021 20:10 MYT
Syed Ali berkata, PPZ-MAIWP tidak terlibat sama ada secara langsung mahupun tidak langsung dalam pengagihan bantuan oleh Baitulmal-MAIWP kepada asnaf dan pihak yang berkaitan. - Foto PPZ-MAIWP
KUALA LUMPUR: Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) hanya bertanggungjawab mengutip bayaran zakat daripada mereka yang layak mengeluarkan zakat khususnya warga Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Pengerusinya, Datuk Seri Syed Ali Syed Abbas Al-Habshee berkata, keseluruhan kutipan zakat itu diserahkan kepada Baitulmal MAIWP sebelum pelbagai jenis bantuan disalurkan kepada asnaf di Wilayah Persekutuan berdasarkan tatacara dan prosedur ditetapkan Baitulmal.
Tegasnya, PPZ-MAIWP tidak terlibat sama ada secara langsung mahupun tidak langsung dalam pengagihan dan saluran bantuan oleh Baitulmal-MAIWP kepada asnaf dan pihak yang berkaitan.
"Saya ingin memperjelaskan kepada orang ramai khususnya warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berhubung kekeliruan mengenai peranan dan tanggungjawab sebenar PPZ MAIWP.
"Adalah dimaklumkan bahawa PPZ adalah satu agensi kutipan zakat yang ditubuhkan oleh MAIWP yang dinaungi oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
selaku Ketua Agama kerana Wilayah Persekutuan adalah negeri tidak mempunyai Raja atau Sultan.
"Saya ingin memperbetulkan tanggapan salah sesetengah pihak kononnya PPZ-MAIWP tidak membantu umat Islam yang ditimpa musibah seperti ketika banjir baru-baru ini," katanya dalam catatan terbaharu di laman Facebooknya pada Selasa.
[LAPOR LANGSUNG] Bencana banjir 2021: 17 terkorban akibat banjir di Selangor
BACA: MAIWP peruntuk RM3 juta bantu asnaf dan usahawan depani pandemik
BACA: YEZ 2021: PPZ-MAIWP sasar kutipan zakat RM800 juta
Bagaimanapun katanya, PPZ-MAIWP menyumbangkan bantuan dalam bentuk 'zakat wakalah' kepada pihak yang memerlukan bantuan.
"Sehubungan itu, saya ingin menjelaskan bahawa kaedah atau tatacara penyaluran bantuan oleh pihak berkuasa agama adalah berbeza di setiap negeri.
"Contohnya PPZ-MAIWP amat berbeza dengan PPZ Selangor. Di Selangor, kutipan zakat dilakukan oleh PPZ Selangor dan badan itu juga yang turut berperanan memberikan segala bentuk bantuan kepada golongan asnaf.
"Perbezaan antara PPZ-MAIWP dengan PPZ di Selangor itulah menyebabkan masih ada sesetengah pihak yang keliru dan meletakkan kesalahan kepada PPZ-MAIWP," ujarnya.
Syed Ali turut memaklumkan, segala bentuk bantuan telah disalurkan secara terus oleh pihak MAIWP menerusi Skuad Jejak Asnaf Baitulmal-MAIWP' dalam kejadian tanah runtuh, banjir dan kebakaran yang berlaku di Kuala Lumpur baru-baru ini.
"Sehubungan itu, saya amat berterima kasih kepada pembayar-pembayar zakat di Kuala Lumpur yang setiap tahun membayar zakat kepada PPZ-MAIWP dan jumlah kutipannya meningkat setiap tahun.
"Duit itulah yang kita salurkan kepada pihak Baitulmal MAIWP untuk diagihkan kepada golongan asnaf.
"Selain itu, saya berharap warga Wilayah Persekutuan boleh terus mengunjungi mana-mana pejabat Baitulmal-MAIWP berdekatan sekiranya mereka memerlukan apa juga bentuk bantuan," katanya.
#tanah runtuh #usahawan #pandemik #PPZ-MAIWP #golongan asnaf #Baitulmal
;