Pusat Perubatan Sunway tersenarai dalam ranking Hospital Terbaik Dunia Newsweek

Bernama
Februari 29, 2024 07:30 MYT
Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC) berjaya menempatkan diri dalam senarai 250 hospital terkemuka dunia dalam ranking Hospital Terbaik Dunia Newsweek 2024. -Foto Facebook/Sunway Medical Centre
KUALA LUMPUR: Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC) berjaya menempatkan diri dalam senarai 250 hospital terkemuka dunia dalam ranking Hospital Terbaik Dunia Newsweek 2024.
SMC dalam kenyataan pada Khamis menyatakan, ranking 2024 dibuat berdasarkan tinjauan global komprehensif yang dijalankan dalam kalangan doktor, pengamal penjagaan kesihatan profesional dan para pentadbir merentasi empat benua, serta data daripada tinjauan pesakit dan metrik kualiti hospital.
Menurut kenyataan itu, ia merupakan kali pertama hospital Malaysia meletakkan posisi dalam ranking tersebut berdasarkan bidang kecemerlangan klinikal, penyelidikan dan inovasi dalam kalangan hospital di seluruh dunia.
Dari 30 negara yang terdiri daripada 2,400 hospital yang disenarai pendek, termasuk hospital awam, hospital pengajar universiti dan pusat perubatan swasta, hanya 250 hospital terkemuka disenaraikan dalam senarai global.
Sementara itu, Presiden Kumpulan Penjagaan Kesihatan Sunway, Datuk Lau Beng Long berkata, mereka amat berbesar hati kerana telah diiktiraf sebagai antara hospital terbaik dunia.
"Kami amat berbesar hati kerana SMC, walaupun boleh dianggap hospital yang masih hijau, telah diiktiraf sebagai antara hospital terbaik dunia dalam ranking yang membariskan nama-nama seperti Mayo Clinic (Amerika Syarikat), Hospital Besar Singapura, Hospital Diraja Prince Alfred (Australia) dan Hospital Universiti Tokyo (Jepun).
"Ini adalah cara terbaik untuk meraikan ulang tahun ke-25 kami pada tahun ini, seiring dengan sasaran untuk meningkatkan lagi standard penjagaan menerusi rawatan inovatif berpusatkan pesakit, pendigitalan dan menyediakan perkhidmatan klinikal yang komprehensif," katanya dalam kenyataan itu.
Ditubuhkan pada 1999, SMC merupakan hospital kuarterner swasta terbesar di Malaysia dengan kapasiti 724 katil berlesen dan terdiri daripada lebih 40 bidang kepakaran. Ia juga mendapat akreditasi daripada The Australian Council on Healthcare Standards.
Pengumuman itu dibuat selepas SMC dinobatkan sebagai hospital pediatrik terbaik di Malaysia dan di tempat ke-28 di Asia Pasifik dalam pencalonan Hospital Khusus Terbaik Newsweek Asia Pasifik 2023 baru-baru ini. SMC juga tersenarai dalam 75 hospital terbaik bagi kategori Neurologi, Kardiologi dan Onkologi dalam tinjauan yang sama.
- BERNAMA
#Pusat Perubatan Sunway #Hospital Terbaik Dunia Newsweek #pusat perubatan swasta #SMC
;