Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah@ IIUM mula operasi sebagai PPV IPT

Bernama
Julai 19, 2021 17:27 MYT
PPV berkenaan dikendalikan oleh 300 'keluarga' IIUM termasuk 180 pelajar selaku sukarelawan bagi memastikan proses vaksinasi yang dijadualkan berlangsung hingga Oktober atau November ini lancar. - Foto Facebook SASMEC IIUM
KUANTAN: Pusat pemberian vaksin (PPV) Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (SASMEC @IIUM) di sini mula beroperasi hari ini yang boleh memberi 200 suntikan dalam masa sejam.
Pengarah SASMEC@IIUM Prof Datuk Dr Mohamed Saufi Awang berkata PPV berkenaan dikendalikan oleh 300 'keluarga' IIUM termasuk 180 pelajar selaku sukarelawan bagi memastikan proses vaksinasi yang dijadualkan berlangsung hingga Oktober atau November ini lancar.
Proses vaksinasi di PPV Institut Pengajian Tinggi (IPT) pertama di Pahang itu berjalan lima hari seminggu mulai Isnin dari 9 pagi hingga 5 petang, dengan sasaran 1,000 orang penerima vaksin setiap hari, berdasarkan senarai dikeluarkan di aplikasi MySejahtera.
"Kita menyediakan 15 stesen vaksinasi yang boleh memberi 200 suntikan dalam masa sejam, selain turut menyediakan kemudahan bagi mereka sudah berumur atau Orang Kurang Upaya (OKU) seperti penyediaan 'buggy' di tempat letak kereta dan kerusi roda.
"Usaha ini diharapkan dapat membantu sasaran kerajaan negeri yang mahu mencapai imunisasi kelompok sebelum musim tengkujuh lazimnya berlaku pada Disember," katanya pada sidang media di PPV berkenaan di sini hari ini.
Dr Mohamed Saufi berkata sebelum ini, SASMEC@IIUM turut terlibat dalam pemberian vaksin kepada petugas barisan hadapan hospital dan universiti serta mereka yang disenaraikan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) melibatkan 4,050 orang penerima vaksin, sejak awal tahun ini.
Sementara itu, Ketua Penyelaras PPV itu Prof Madya Dr Razman Mohd Rus yang juga Timbalan Pengarah Kampus IIUM Kuantan berkata proses vaksinasi dijangka mengambil masa kurang setengah jam bagi mereka yang sihat, manakala penerima dikategorikan berisiko perlu melalui proses pemantauan selama 30 minit.
"Kita juga menyediakan 200 ruang menunggu di lokasi bersesuaian supaya tidak berlaku kesesakan di ruang pendaftaran, selain turut menghubungi penerima untuk mengingatkan mereka datang pada waktu ditetapkan di MySejahtera bagi menjaga aspek penjarakan fizikal," katanya.
Sementara itu, pelajar tahun empat Ijazah Sarjana Muda Perubatan IIUM Mohamad Azhan Awang, 24, berkata dia memutuskan untuk menjadi sukarelawan kerana tidak pulang ke kampung ekoran bimbang masalah liputan internet menyukarkannya mengikuti kuliah secara dalam talian.
Mohamad Azhan yang berasal dari Pasir Puteh, Kelantan berkata dia turut meminta pandangan daripada pensyarah sebelum mendaftar sebagai sukarelawan supaya pengajiannya tidak terganggu.
VAKSIN-IIUM 3 (AKHIR) KUANTAN
"Saya juga telah menjalani lima kali proses simulasi sebelum PPV beroperasi, termasuk kemungkinan berlakunya kejadian tidak dijangka seperti kebakaran menyebabkan saya yakin dengan keselamatan untuk menjadi sukarelawan," katanya.
Nabilah Mohd Azman, 24, yang bertugas sebagai sukarelawan pengiring pula menyifatkan tugas itu sebagai peluang kepada dirinya mencipta pengalaman semasa situasi pandemik yang akan menjadi sebahagian daripada sejarah negara.
Sebagai langkah berwaspada, Nabilah yang berasal dari Taiping, Perak berkata semua sukarelawan dipastikan mengikut prosedur keselamatan sewajarnya termasuk mengenakan dua lapis pelitup muka, memakai pelindung muka serta apron kalis cecair sebagai peralatan perlindungan diri (PPE) sepanjang bertugas.
-- BERNAMA
#vaksin #PPV #KKM #IPT #COVID-19 #Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan #Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah #SASMEC IIUM
;